Buka potensi generasi muda

BETONG: Sarawak mempunyai peluang besar untuk membangunkan industri-industri berlandaskan ekonomi digital. Adun Layar Gerald Rentap Jabu mengakui, pengumuman Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebagai strategi pemulihan ekonomi pasca-Covid-19 akan membangunkan potensi anak muda di negeri ini.

“Bagi saya, ini memberi peluang terutamanya kepada anak muda Sarawak menceburi bidang-bidang pembelajaran berasaskan ekonomi digital. “Selain menggunakan aplikasi mudah alih (pintar) untuk bergiat dalam sektor perniagaan, ia juga sebagai platform yang berkonsepkan kebiasaan baharu,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Pergerakan Pemuda GPS berkata demikian ketika dihubungi Suara Sarawak, kelmarin.

Jelasnya, pengunaan data raya, analitik data, realiti terimbuh, kecerdasan buatan dan sebagainya memerlukan bekalan elektrik yang banyak. “Secara tidak langsung ia dapat membantu membuka perusahan lain seperti minyak dan gas, sumber asli, perusahaan tinggi  nilai aliran dan pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar.

“Ini wajar dengan keupayaan dan kekayaan alam semula jadi Sarawak yang membolehkan kita menjana kuasa hidro elektrik,” ujarnya.

Rentap merakamkan penghargaan kepada Abang Johari dan Kerajaan GPS kerana mengambil pandangan dan perancangan yang jauh untuk menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Sarawak bagi merangka program peningkatan prestasi semasa.

Malah menurutnya, pengumuman dua teras sebagai pemangkin polisi kerajaan iaitu ekonomi digital dan kelestarian alam sekitar sesuatu yang amat tepat

Suara Sarawak