SERAMAI 150 pekebun lada di Bahagian Betong menerima bantuan RM1.2 juta bagi menyokong pengurusan, pembangunan serta kelangsungan tanaman lada di kawasan berkenaan yang disampaikan pada Seminar Kemampanan Industri Lada anjuran Lembaga Lada Malaysia (MPB), Khamis lalu.
Ia turut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan memperkukuh sektor lada sebagai antara komoditi penting kepada ekonomi luar bandar Sarawak.
Daripada keseluruhan peruntukan tersebut, RM772,000 disalurkan kepada 73 pekebun menerusi Bantuan Penanaman Lada Premium, manakala RM430,200 lagi diberikan kepada 77 pekebun di bawah kategori Bantuan Pengurusan Tanaman Lada Matang.
Selain bantuan kewangan, pekebun turut menerima sokongan berbentuk fasiliti dan peralatan ladang bagi membantu meningkatkan kecekapan pengurusan kebun. Pada majlis sama, turut diserahkan Bantuan Fasiliti dan Kemudahan Ladang berupa pelari lada dan spiral separator, selain Bantuan Pengukuhan Kemudahan Peralatan Ladang yang melibatkan mesin pemotong rumput serta penyembur cecair bermotor.
Kemudahan tersebut penting bagi membantu pekebun mengurangkan beban kerja manual, meningkatkan kecekapan pengurusan kebun serta memastikan proses pengeluaran dapat dilaksanakan dengan lebih teratur. Sokongan yang diberikan juga dilihat amat signifikan memandangkan Betong merupakan antara kawasan penting dalam pengeluaran lada di Sarawak.
Ketika ini, Bahagian Betong mempunyai 5,154 pekebun lada dengan keluasan tanaman mencapai 1,124.57 hektar. Angka berkenaan bukan sahaja menggambarkan skala penglibatan masyarakat dalam sektor lada, malah menunjukkan betapa pentingnya komoditi tersebut sebagai sumber pendapatan dan aktiviti ekonomi masyarakat setempat.
Sehubungan itu, pelbagai bentuk bantuan disalurkan kerajaan secara berperingkat bagi memastikan pekebun terus mendapat sokongan daripada peringkat penanaman, pengurusan kebun hinggalah kepada aspek infrastruktur dan pemasaran.
Bantu kurang kos pengangkutan
Dalam Belanjawan Sarawak 2026, sebanyak RM34.2 juta diperuntukkan bagi pembangunan infrastruktur, kemudahan dan logistik pertanian, termasuk RM11 juta khusus untuk pembangunan jalan ladang. Kemudahan infrastruktur seperti jalan ladang amat penting kepada pekebun kecil kerana ia memudahkan pergerakan keluar masuk ke kawasan tanaman, selain membantu mengurangkan kos pengangkutan input pertanian dan hasil ladang.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) pula, menerusi Projek Jalan Ladang Pekebun Kecil (JLPK), sebanyak tiga projek telah dilaksanakan di kawasan Parlimen Betong. Keseluruhan projek berkenaan melibatkan pembinaan lapan kilometer jalan ladang dengan kos RM1.212 juta dan memberi manfaat kepada 52 pekebun.
Sokongan turut diteruskan melalui bantuan secara langsung kepada pekebun. Pada 2025, seramai 30 pekebun kecil di Nanga Jelau, Jelau Atas, Batu Lintang dan Graji Atas menerima bantuan berjumlah RM360,000 bersamaan RM12,000 bagi setiap pekebun. Bantuan tersebut merangkumi input bagi penanaman 200 pokok baharu serta penggunaan tiang PVC sebagai alternatif kepada kayu belian yang lebih mahal.
Pendekatan berkenaan bukan sahaja membantu mengurangkan kos pembangunan kebun, malah membuka ruang kepada pekebun menggunakan kaedah yang lebih praktikal dan bersesuaian dengan keperluan semasa.
Menerusi pelaksanaan Skim Tanaman Lada Baharu, Skim Tanaman Lada Matang dan Pembangunan Pengeluaran Lada Premium di bawah RMK-12, kawasan Betong turut menerima peruntukan keseluruhan melebihi RM7.5 juta bagi kawasan seluas 282.8 hektar. Sepanjang tempoh RMK-12 juga, lima rumah panjang di kawasan Betong telah dibangunkan di bawah Projek Pembangunan Lada Premium (PPLP), melibatkan rumah panjang di kawasan Spak, Ulu Layar dan Mutok Tabau.
Keseluruhan inisiatif tersebut memperlihatkan bahawa pembangunan industri lada bukan sekadar tertumpu kepada peningkatan jumlah tanaman, tetapi turut merangkumi usaha memperbaiki produktiviti, kualiti, kemudahan ladang serta nilai tambah hasil. Lebih penting, usaha memperkukuh industri lada kini turut memberi tumpuan kepada pasaran premium yang menawarkan potensi nilai lebih tinggi.
Buktinya, dari 2022 hingga Mei 2026, Malaysia berjaya mengeksport sebanyak 12.8 tan metrik Lada Putih Krim bernilai RM1.024 juta. Produk tersebut telah menembusi pasaran seperti Jepun dan Vietnam, selain menerima permintaan daripada negara-negara Scandinavia. Perkembangan itu memberikan gambaran bahawa lada yang dihasilkan dengan kualiti dan ciri tertentu mempunyai ruang yang besar untuk dipasarkan dalam segmen premium di peringkat antarabangsa.
Kualiti, identiti lada
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad mengakui kekuatan utama Malaysia terletak pada kualiti serta identiti lada Sarawak yang mempunyai potensi besar untuk memenuhi permintaan pasaran premium. Menurut beliau, Sarawak bukan sahaja menjadi penentu masa depan industri lada negara, malah mempunyai kelebihan untuk menjadikan produk lada Malaysia lebih kompetitif di pasaran dunia menerusi pengeluaran lada berkualiti dan bernilai premium.
Kejayaan Lada Putih Krim, katanya, menjadi antara contoh bahawa apabila kualiti produk memenuhi kehendak pasaran, hasil lada negara mampu dipasarkan pada nilai yang lebih tinggi.
Kedudukan Sarawak yang menyumbang hampir keseluruhan kawasan tanaman lada negara turut menjadikan negeri ini amat penting dalam menentukan hala tuju industri berkenaan.
Atas sebab itu, pembangunan industri lada perlu dilaksanakan secara menyeluruh dan tidak terhenti pada aspek penanaman semata-mata. Ia perlu merangkumi keseluruhan rantaian nilai, bermula daripada pengurusan kebun, peningkatan produktiviti dan kualiti hasil, penggunaan teknologi serta kemudahan pemprosesan, sehinggalah kepada pemasaran dan penguasaan pasaran antarabangsa.
Dalam masa sama, Kementerian Perladangan dan Komoditi menyasarkan peluasan tanaman lada premium seluas 750 hektar serta melibatkan pengurusan 800 hektar tanaman lada matang. Sasaran tersebut bertujuan meningkatkan hasil dan kualiti lada, seterusnya menambah pendapatan pekebun serta mengukuhkan kedudukan industri lada negara.
Bagi Sarawak, khususnya kawasan seperti Betong, usaha tersebut membawa makna yang lebih besar kerana industri lada bukan sahaja berkait dengan prestasi eksport negara, tetapi secara langsung menyentuh kehidupan ribuan pekebun kecil dan keluarga mereka.
Dengan jumlah pekebun yang besar serta keluasan tanaman yang signifikan, kesinambungan bantuan, pembangunan infrastruktur, pengurusan tanaman yang lebih cekap dan pengeluaran produk bernilai premium menjadi antara faktor penting dalam memastikan industri lada terus berdaya tahan.
Lebih daripada sekadar meningkatkan pengeluaran, cabaran sebenar industri lada kini adalah memastikan setiap hasil yang dikeluarkan mampu memenuhi standard pasaran dan memberikan pulangan yang setimpal kepada pekebun.
Justeru, kekuatan Sarawak sebagai pengeluar utama lada negara perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk membina industri yang lebih berdaya saing, berkualiti dan berorientasikan pasaran premium.
Jika momentum sokongan kepada pekebun dapat diteruskan, digabungkan dengan peningkatan teknologi, kemudahan infrastruktur serta akses kepada pasaran baharu, industri lada Sarawak mempunyai ruang yang luas. Akhirnya, berkembang sebagai komoditi tradisi dan produk pertanian bernilai tinggi yang mampu membawa nama Malaysia ke pasaran dunia.



