Bukan diculik, tapi larikan diri

KUCHING: Insiden penculikan seorang kanak-kanak perempuan bersama-sama makciknya petang tadi adalah palsu, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Dev Kumar.

“Laporan palsu. Ada laporan polis tapi laporan yang dibuat tidak betul. Kedua-dua mangsa disahkan melarikan diri dari rumah kakaknya,” katanya pada sidang media hari ini.

Kata Dev, kakak mangsa cuba untuk memanipulasikan berita lari dari rumah dengan melaporkan berita mangsa diculik oleh lelaki bertopeng menggunakan van berwarna putih.

“Setelah disiasat, akhirnya kakak mangsa mengaku membuat laporan palsu kononnya mangsa diculik. Sebaliknya mangsa telah melarikan diri dari rumahnya,”katanya.

Sebelum kejadian kata Dev, kakak mangsa berusia 20 tahun mendakwa adiknya berusia 17 dan anak saudara 10 tahun diculik oleh lelaki bertopeng menggunakan van putih di Jalan Matang di sini.

“Setelah disiasat dengan lebih mendalam, polis mendapat tahu bahawa dia telah membuat laporan palsu. Kakak mangsa mendakwa kejadian culik itu itu direka kerana kedua-dua mangsa didera oleh makcik mereka.

“Selepas itu, polis menggerakkan operasi mencari dua remaja berkenaan dan berjaya ditemui rumah rakan mereka sebelum dibawa ke Balai Polis Gita,” katanya.

Dev menambah, ia bukan kes penculikan dan pengadu akan diambil tindakan kerana membuat laporan palsu sehingga menimbul kebimbangan ibu bapa kanak-kanak berkenaan termasuk mencetus panik masyarakat.

“Apabila tular berkenaan dengan sebuah van dan lelaki bertopeng termasuk adanya laporan polis, orang ramai mula bimbang tetapi kes penculikan tidak pernah lagi berlaku di negeri ini.

“Saya hendak sahkan di sini bahawa laporan itu palsu. Polis menggerakkan operasi besar-besaran malah menggunakan banyak sumber selepas menerima laporan. Polis juga terpedaya,” katanya dan setakat berita ini ditulis, pengadu masih ditahan untuk siasatan lanjut.

Jelas Dev, ibu bapa mangsa tidak akan dikenakan sebarang tindakan kerana kedua-duanya turut terpedaya dengan laporan palsu itu.

Dev menasihatkan masyarakat supaya tidak terlalu cepat membuat kesimpulan dengan menviralkan perkara yang tiada kesahihan daripada pihak berkuasa terutamanya polis.

https://www.facebook.com/sarawakedition/videos/424157601533461/