Bukan sekadar ikan hiasan

KUCHING: Kita biasa dengar banyak industri tergendala akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Tetapi lain pula kisahnya dalam industri ikan hiasan khasnya ikan laga.

Ikan laga hiasan kini semakin mendapat tempat dalam masyarakat sebagai hobi mahupun sebagai perniagaan Pengendali Solid Betta, Hazwan Bojeng berkata, beliau mula menceburi bidang ikan laga hiasan semenjak empat bulan yang lalu ketika PKP.

“Semasa PKP, semasa duduk di rumah sahaja, saya mengambil peluang untuk memulakan penternakan ikan laga ini. “Saya mula mencuba untuk membuat genetik baharu ikan laga dengan pelbagai jenis ikan laga untuk mendapat hasil yang lebih cantik.

Hazwan Bojeng

“Saya mula tertarik apabila hasil kacukan membuahkan hasil sehingga boleh dibawa ke pertandingan,” katanya.

Menurut Hazwan, minatnya terhadap ikan laga bukan sekadar hobi, tetapi boleh dijadikan sumber pendapatan lain ataupun memasuki pertandingan.

“Industri ikan laga bukan sekadar hobi, dari ikan laga kita boleh biakkan untuk dijual, sesuai dengan harga pasaran.

“Seekor ikan laga kalau dijaga dengan baik boleh mencapai harga RM400 hingga RM1000. “Kalau kita betul-betul mendalami industri ikan laga ini, memang terdapat ikan yang mampu mencecah RM5,000 seekor,” ujarnya.

Justeru, kos untuk menyelenggara industri ikan laga hiasan mini bukannya murah, tetapi bersesuaian dengan kehendak pasaran.

“Kos untuk memulakan industri ikan laga hiasan ini adalah sekitar RM10,000. “Ini termasuk kos membeli ikan, membeli makanan dan barangan keperluan lain untuk proses penternakan,” jelasnya.

Hazwan berkata, penjagaan yang baik harus melalui kaedah yang baik. Hazwan membuat sendiri makanan ikan bagi memastikan ikannya mendapat khasiat yang baik untuk pembesaran dan warnanya.

ASHRAF REDZA ZAMARI

“Kami cuma membuat tempat terbaik untuk ikan membiak. “Contohnya, kami memberikan daun ketapang yang sememangnya sebagai habitat asal ikan ini. “Daun ketapang bukan sahaja memberikan nutrien kepada air, tetapi berfungsi sebagai tempat perlindungan atau persembunyian seperti di habitat asalnya,” katanya.

Beliau berkata, penjagaan yang baik ini akan menghasilkan ikan yang cantik dan terbaik dari segi saiz, warna dan keaktifan.

“Dalam pertandingan, bukan sahaja kecantikan dibuat penilaian, tetapi saiz ikan tersebut dan keaktifan juga diambil kira.

“Jadi adalah penting untuk kita menjaga kecantikan ikan laga hiasan dan pada masa yang sama memastikan ikan tersebut sentiasa aktif.

Hazwan melalui kelabnya Solid Betta telah memenangi pelbagai pertandingan walaupun baru menceburi bidang ini selama empat bulan.

“Baru-baru ini, Solid Betta mendapat tempat kedua dan ketiga dalam Malaysia Open Cup Championship di Banaffe Seri Alam, Johor Bharu.

“Pertandingan tempatan juga kami sertai seperti Rise of Monarch Borneo Betta Comp, Petra jaya dan Samarahan. “Kami sentiasa berada dalam senarai tiga terbaik dalam setiap penyertaan,” ujarnya.