Bukan sekadar pusat ibadah

MATU: Umat Islam, khususnya di Sarawak diharap memanfaatkan sepenuh masjid sebagai platform penting mengukuhkan ikatan perpaduan.

Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, sejarah membuktikan bahawa masjid mempunyai fungsi pelbagai bermula dari zaman Rasulullah SAW sehingga hari ini.

Masjid katanya, bukan hanya pusat ibadah, tetapi juga penggerak aktiviti masyarakat, gedung ilmu dan mengeratkan insan dengan Pencipta selain pengukuh silaturahim antara sesama manusia.

“Gunakanlah masjid untuk menimba ilmu sebagai senjata penting untuk membangunkan diri dan masyarakat. Hanya dengan ilmu kita berupaya menjadi insan yang berkualiti.

“Dalam hal yang berkaitan, manfaatkanlah tempat ibadah ini memperkukuhkan perpaduan,” katanya pada Majlis Perasmian Masjid Daerah Matu, semalam.

Hadir sama Adun Jemoreng Datuk Dr. Juanda Jaya, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi,Adun Daro, Safiee Ahmad dan Residen Mukah, Hamdiah Bakir.

Beliau berkata, usaha membina dan menaik taraf masjid serta surau membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak menyediakan kemudahan terbaik kepada rakyat.

Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan masyarakat Islam dapat menjalankan ibadah dalam suasana lebih selesa dan selamat.

“Struktur pembinaan masjid dilakukan secara khusus di samping menyediakan pelbagai kemudahan kepada umat Islam bagi melaksanakan aktiviti yang bermanfaat demi pembangunan dan kepentingan seluruh ummah, ” katanya.

Suara Sarawak