ARTIKEL

BUKIT MOKATTAM rakam kisah para nabi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

»TERLETAK di Manshiyat Nasr, tenggara Kota Kaherah, terdapat Bukit Mokattam yang merupakan serangkaian bukit dan penempatan di pinggir kota tersebut.

Bagi umat Islam secara umumnya tiada apa-apa sejarah yang tuntas diketahui atau keistimewaan tertentu tentang Bukit Mokattam ini.

Namun demikian terdapat kepercayaan peristiwa dialog di antara Syeikh Abu Yazid alBustami dengan ketua paderi Nasrani Koptik yang dikatakan pernah berlaku di gereja di Bukit Mokattam.

Gereja yang dimaksudkan ialah Gereja Nasrani Koptik Samaan atau juga dikenali sebagai Gereja St. Simon.

Kisah ini dirakamkan dalam buku “Untaian Kisah para Wali Allah” karya Allamah Alyafi’iy yang disusun dan ditulis semula oleh Syed Ahmad Semait terbitan Pustaka Nasional Pte.Ltd pada halaman 104.

Selain itu, Bukit Mokattam menempatkan makam Amru Ibn al-As, salah seorang sahabat Nabi SAW yang mulia, panglima tentera Islam yang berjaya membebaskan Mesir daripada tentera Rom Byzantine dan dilantik oleh Khalifah Umar al-Khattab sebagai Gabenor di Mesir yang berpusat di Kota Fustat.

Amru meninggal dunia pada tahun ke-43 Hijrah (663M) dan dikebumikan di kaki Bukit Mukattam.

Namun, makam beliau tidak dapat dipastikan kerana tidak pernah ditanda.

Bersebelahan kawasan utama bukit Mokattan, tersergam indah Kubu Sallehuddin al-Ayubi yang dibina pada 1183M sebagai pertahanan daripada serangan tentera Kristian semasa Perang Salib di Mesir. Pada hari ini ia menjadi destinasi wajib para pelancong seluruh dunia.

Bukit Mokattam lebih dikenali sebagai daerah yang didiami oleh masyarakat Zabaleen atau pengumpul sampah yang tinggal di perkampungan sampah.

PETANI

Penduduknya 90 peratus beragama Kristian Koptik. Mereka asalnya golongan petani dari hulu Mesir yang berpindah ke daerah ini pada 1940-an.

Di sini kita boleh melihat bagaimana masyarakat hidup dengan mengumpul pelbagai sampah sekitar Kota Kaherah untuk dikitar semula dan dijadikan sumber pendapatan utama.

Di Tengah-tengah perkampungan inilah terletaknya Gereja Samaan atau St. Simon.

Gereja ini menurut kepercayaan Kristian Koptik dikatakan pernah menyaksikan keajaiban bagaimana Bukit Mokattam berpindah dari tempatnya sebelum ini sesuai doa tukang sepatu bernama Simon atau Samaan.

Penulis dan ahli rombongan mengambil kesempatan melihat sendiri gereja yang dikatakan gereja terbesar di Timur Tengah.

Gereja ini didirikan daripada tiga buah gua berbentuk ala stadium dengan atap batu gunung dengan gua terbesar boleh memuatkan 10,000 orang.

Yang mengagumkan kita ialah tulisan yang terpahat pada dinding gua, luar gua atau papan tanda, rata-rata menggunakan bahasa Arab.

Ini tidak menghairankan kerana masyarakat Zabaleen sememangnya lebih cenderung menggunakan bahasa Arab.

Contohnya terdapat ukiran batu pada dinding luar memaparkan 10 wasiat Tuhan kepada Nabi Musa di Gunung Sinai antaranya ditulis dalam bahasa Arab; “La takun laka aalihatan ukhro amaami” yang bermaksud “Jangan kamu jadikan bagi kamu Tuhan yang lain di hadapan-Ku”.

Kunjungan ke gereja ini juga menyedarkan kita betapa dekatnya hubungan antara orang Islam dengan penganut Kristian Koptik kerana berkongsi sebahagian sejarah dan kisah para nabi dan rasul meskipun dipisahkan oleh dasar, prinsip dan asas tauhid yang berbeza.

Antaranya Nabi Yaakub, Nabi Yusuf, Nabi Musa, Nabi Harun dan lain-lain.

Sebagai orang Islam kita tidak membandingkan antara seorang nabi dengan nabi yang lain. Kita beriman dan mencintai kesemua mereka.

MENGHARGAI HUBUNGAN

Begitu juga perihal Nabi Isa yang dimuliakan oleh penganut Kristian.

Dalam hadis riwayat Muhammad Sufyan, daripada Falih Sulaiman, daripada Hilal Ali, dari Abdurrahman Abi Imrah, daripada Abu Hurairah beliau berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Aku orang yang paling berhak kepada Isa ibni Maryam di dunia dan akhirat, para nabi itu saudara satu ayah lain ibu; ibu mereka banyak dan agamanya satu.” (maksud hadis riwayat Bukhari dan Muslim) Kunjungan ini juga mengajar kita agar menghargai hubungan dengan saudara Kristian agar saling menghormati dan menyemai bibit persahabatan.

Sebenarnya banyak perkara dapat kita pelajari daripada perbualan dan komunikasi dengan mereka khususnya dalam memahami dan menghargai pandangan dan prinsip kepercayaan masingmasing.

Hari ini, kita melihat masyarakat minoriti Zabaleen yang mendiami daerah Bukit Mokkatam, hidup aman harmoni bersama-sama kepemimpinan majoriti Muslimin dengan kebebasan mengamalkan agama. Inilah bukti keadilan Islam. 

BERITA LAIN

MyCARE Musleh ikut serta beri bantuan

MAJLIS Penyerahan Sumbangan MyCare Kota Samarahan 2.0 di Sekolah Rendah Islam Al Amin Kota Samarahan berlangsung dengan jayanya pada 10 Julai lalu. Majlis anjuran kerjasama

Kerjasama dalam sukan

PROGRAM Riadhah Puteri IKRAMTeens dihadiri 39 peserta terdiri daripada pelajar Institut Iqra Bintulu, Peryatim Bintulu serta beberapa ahli Ikram Bintulu, di Kenyalang Futsal Bintulu, 7

Menjejaki kaum Pegu

PERNAHKAH anda mendengar mengenai kaum Pegu di Sarawak? Ia adalah salah satu daripada etnik yang pupus di Sarawak. Kebanyakan rakyat di negeri ini, tidak pernah

Erat hubungan silaturahim

BARU-BARU ini, Ikmas menyantuni Lawatan Silaturahim Ikram Kuching bersama rombongan Yayasan al-Mumtaz PontianakIndonesia diketuai Misyruqi As-Syaairy. Pertemuan berlangsung di Auditorium al-Wadi Ikmas. Rombongan disambut oleh

Ikmas Eagle menyerlah

IKMAS turut menghantar pasukan menyertai Kejohanan Rugbi Perlawanan Rainforest 7S yang dianjurkan oleh Kuching Rugby Football Club di Padang Song Kheng Hai, baru-baru ini. Objektif

BERITA TERBARU