MUNGKIN ramai dalam kalangan kita tidak begitu mengetahui Sarawak mempunyai banyak tempat yang dianggap sebagai permata tersembunyi.
Secara umumnya, Sarawak sememangnya negeri yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi dan keunikan fl ora dan fauna.
Bentuk muka bumi yang mencabar serta sesetengah hutan belantara masih belum terusik.
Pada 27 Mei lalu, saya berkesempatan melakukan aktiviti mendaki Bukit Selabat di Muara Tebas.
Perjalanan ke Bukit Selabat memakan masa kira-kira 30 minit dari kawasan bandar Kuching.
Menurut rakan saya, Carlos Raoh, tempat tersebut bukan hanya terkenal dengan keindahan alam semula jadi, tetapi sangat sesuai untuk mereka yang mahu berjinak-jinak dalam aktiviti mendaki gunung.
Kami tiba di Bukit Selabat pada 8.30 pagi dan bayaran masu dikenakan pada harga RM10.
Menariknya, terdapat kemudahan tempat meletak kereta disediakan pada harga RM5.
Sebelum memulakan aktiviti pendakian, kami sempat melakukan senaman memanaskan badan supaya tidak berlakunya kekejangan atau kecederaan otot.
Semasa mendaki bukit tersebut, kami kepenatan kerana sudah lama tidak melakukan aktiviti mendaki.
Namun, kami tetap meneruskan perjalanan supaya dapat tiba di puncak lebih awal.
Saranan kami, berehat seketika dan makan sedikit kurma supaya dapat memberi bekalan tenaga ketika mendaki.
ALAM SEMULA JADI
Sepanjang perjalanan tersebut, kami kagum akan keindahan pemandangan hutan yang masih belum terusik.
Kami memikirkan bagaimana Sang Pencipta mencipta alam yang terbentang luas.
Malah, ia menjadikan kami sentiasa bersyukur dengan nikmat yang diberikan Allah SWT.
Benarlah aktiviti mendaki bukan hanya dapat memberi kercergasan pada jasmani, tetapi menjadikan diri kita sebagai hamba-Nya yang selalu bersyukur akan nikmat diberikan oleh-Nya.
Pada 10 pagi, kami sudah hampir tiba di kawasan puncak dan mendapati terdapat kemudahan tali yang disediakan untuk mendaki.
Bagi saya sebagai pemula, kawasan tersebut agak mencabar kerana terdapat beberapa tempat memerlukan stamina yang tinggi.
PUNCAK BUKIT SELABAT
Akhirnya, kami berjaya mendaki di kawasan puncak pada 10.30 pagi dan sempat bersarapan dengan nasi lemak.
Semasa berada di puncak Bukit Selabat, saya sempat meninjau pemandangan Muara Tebas.
“Subhanallah,” itulah perkataan yang kami ucapkan ketika berada di puncak Bukit Selabat.
Sememangnya ciptaan Allah SWT tiada bandingan dan ini menjadikan kita sentiasa kerdil di hadapan-Nya.
Sementara itu, kami sempat memuat naik beberapa video perkembangan aktiviti pendakian di akaun rasmi TikTok @thepeninjau.
Dalam halaman tersebut, kami memuatkan pengembaraan beberapa rakan kami di Switzerland, Gunung Kinabalu dan Pinnacles Mulu.
Pembaca sangat dialu-alukan mengikuti perkembangan aktiviti pendakian kami di TikTok @ thepeninjau.