ARTIKEL

Bukti keyakinan terhadap Abang Johari

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

KEPUTUSAN Pilihan Raya Kecil (PRK) Jepak telah pun diketahui.

Keputusan bahawa calon GPS, Iskandar Turkee menang bukanlah mengejutkan.

Barangkali yang sedikit mengejutkan ialah peratusan yang keluar mengundi hanya 48.57 peratus di sebalik jangkaan SPR sebanyak 65 peratus.

Memang semua pihak menjangkakan peratusan mengundi akan turun tetapi mungkin sedikit yang menduga di bawah 50 peratus.

Memang, dalam enam PRN sejak 1996 lagi, peratusan yang turun mengundi di Jepak tidak pernah mencecah 70 peratus.

Peratusan paling tinggi pernah direkodkan adalah pada 2011 dengan peratusan mengundi mencecah 69.36 peratus, manakala paling rendah ialah 57.30 peratus pada PRN 2006.

Banyak faktor menyumbang kepada rendahnya peratusan mengundi dalam kalangan 22,804 pengundi itu, termasuk golongan pengundi muda yang berada di luar Jepak kerana belajar dan bekerja tidak kembali ke kawasan untuk mengundi.

Tidak banyak yang sedia berkorban dari segi belanja untuk tambang dan masa untuk balik mengundi, lebih-lebih lagi jika tambang atau pengangkutan tidak disediakan seperti dilakukan oleh sesetengah parti politik sebelum ini.

Lagipun, mereka terlalu yakin bahawa calon GPS akan menang lagi, apatah lagi pilihan ini sekadar PRK.

Kalaupun calon lawan dari Aspirasi atau PBK menang, itu tidak akan mengubah kedudukan GPS yang memenangi 76 daripada 82 kerusi dalam PRN pada 2021.

Dengan pertambahan jumlah pemilih berdaftar sebanyak 8,161 memang sudah dijangka bahawa jumlah undi yang diraih oleh Iskandar seharusnya bertambah.

Beliau sebenarnya menang besar apabila mendapat 9,638 undi sekali gus mendapat undi popular sebanyak 88.24 peratus.

Ini merupakan pertambahan sebanyak 18.80 peratus berbanding diraih calon GPS, Datuk Talip Zulpilip pada 2021.

Undi popular paling tinggi pernah direkodkan oleh Talip Zulpilip selama enam penggal bertanding di Jepak ialah 88.26 peratus pada 1996, iaitu ketika pertama kali mewakili PBB.

Sebaliknya Stevenson Joseph Sumbang yang mewakili PBK hanya mendapat 854 undi.

Terdapat sedikit peningkatan dari segi undi yang diperoleh dan undi popular, iaitu 7.82 peratus berbanding 6.49 peratus pada 2021.

Chieng Liek Ping yang mewakili Aspirasi pula hanya mendapat 431 undi dengan undi popular 3.95 peratus.

Mengapakah Iskandar atau GPS menang besar di Jepak? Tidak disangkal lagi, jenama GPS yang begitu kuat dan terkenal yang diterajui Pengerusinya Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg merupakan faktor utama kemenangan cemerlang itu.

Disebabkan kepemimpinan Premier yang dinamik, berintegriti, berpandangan jauh dan cemerlang, banyak pencapaian luar biasa telah dilakarkan oleh Sarawak. Ini termasuk hasil dan pendapatan yang sentiasa meningkat setiap tahun, Belanjawan Sarawak yang mencecah RM10 bilion dan hasil SST daripada Petronas hampir RM15 bilion setakat 6 Oktober lalu.

Kejayaan mendapatkan peruntukan interim khas RM300 juta setahun untuk 2023 dan 2024 daripada Kerajaan Persekutuan, mendapat hak melaksanakan projek Persekutuan bernilai kurang daripada RM50 juta, dan banyak lagi pastinya memikat penduduk di Jepak.

Dengan lebih daripada 150 inisiatif strategik dan merakyat yang diperkenalkan dan dilaksanakan beliau sejak menjadi Premier Sarawak pada 2017, maka tidak hairanlah ini mendorong pengundi Jepak menyokong GPS.

GPS berjaya memperjuangkan hak Sarawak yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Sudah tentu dengan kemenangan itu, akan menguntungkan 35,300 penduduk di Jepak untuk terus menikmati pembangunan dalam pelbagai bidang.

Menjadi tanggungjawab Iskandar dengan bantuan Kerajaan Sarawak, agensi kerajaan dan pemimpin parti dan penduduk tempatan untuk melaksanakan 14 teras utama seperti yang terkandung dalam Manifesto GPS.

Sudah tentu, sebagai calon tempatan campuran Melanau dan Iban yang mesra rakyat, berwibawa dan mudah didekati juga menyumbang kepada kemenangan besar itu.

Apatah lagi, beliau dilihat sebagai calon yang berkelayakan tinggi dan berpengalaman luas, serta mampu melaksanakan aku janji dan komitmen sepanjang kempen.

Meskipun jentera parti dipimpin oleh Pengarah Pilihan Raya PRK Jepak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yakin akan kemenangan pasti berpihak kepada GPS, mereka tidak bersikap tinggi diri, apatah lagi puas hati atau leka.

Sebaliknya, jentera parti didukung oleh kepemimpinan tertinggi dan ahli akar umbi semua peringkat, telah turun ke gelanggang, menggempur semua kawasan, termasuk kampung dan lebih 100 rumah panjang di kawasan Jepak.

Ingat, kawasan ini ialah kawasan pengundi pelbagai kaum, dengan kaum Melayu/ Melanau sebanyak 55 peratus, Iban (34 peratus), Cina (6 peratus), Orang Ulu (3 peratus), Bidayuh (1 peratus) dan lain-lain 1 peratus.

Daripada pengamatan di akar umbi, dua lagi calon kelihatan bagai mengibar bendera putih dari awal lagi.

Mereka tidak banyak bergerak atau berkempen, malah jumlah bendera yang dipasang juga tidak dapat mengalahkan bendera GPS.

Adakah mereka bertanding semata-mata untuk memastikan GPS tidak menang percuma?

Memang, dari segi kempen, jentera GPS begitu teratur dengan kerjasama semua parti komponen, iaitu PBB, SUPP, PRS dan PDP.

Mereka mempunyai kawasan yang menjadi perhatian atau fokus. Kemenangan GPS juga disumbangkan oleh manifesto yang menyeluruh, berorientasikan kepentingan dan masa depan penduduk dan pengundi di kawasan Jepak.

Hakikat bahawa GPS mengambil keputusan untuk menerbitkan manifesto dan mengedarkannya dalam kalangan pengundi dan penduduk di Jepak membuktikan bahawa gabungan itu serius untuk memenangi jiwa dan minda penduduk.

Jarang parti politik mengambil tindakan sedemikian untuk PRK. Bagi GPS, aku janji yang terkandung dalam manifesto itu adalah sesuatu yang realistik dan dapat ditunaikan.

Kalaupun tidak dalam waktu dua tiga tahun, tetapi secara berperingkat-peringkat, termasuk pengukuran tanah dan membina 7,000 unit rumah.

Penduduk dan pengundi dapat melihat perumahan dan kemajuan di Jepak dan Bintulu terutamanya sejak Abang Johari menjadi Premier.

Tidak dinafikan memang ada isu tertentu yang dibangkitkan oleh parti lawan atau penduduk ketika jentera GPS berkempen, termasuk isu perparitan, lot rumah, elektrik, air, liputan telekomunikasi, pembesaran kampung dan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR), namun hakikatnya, tidak ada isu besar atau ‘panas’ sehingga dapat menyemarakkan sentimen pengundi.

Isu yang dibangkitkan oleh penduduk itu sedang ditangani oleh rakyat, malah terkandung dalam teras manifesto untuk dilaksanakan dalam waktu yang munasabah.

Ini juga merupakan faktor yang menyumbang kepada kemenangan GPS. Dengan kemenangan itu, kekuatan dan populariti GPS memang sukar dipertikaikan.

Dengan kemenangan itu, Iskandar perlu bekerja keras sebelum berdepan dengan PRN ke-13 yang dijangka kurang daripada tiga tahun lagi.

Tentu beliau akan sedaya upaya berusaha untuk memastikan Jepak, seperti juga kawasan DUN yang lain di Sarawak, maju dan makmur.

Untuk itu, beliau perlu melaksanakan segala komitmen dan aku janji beliau termasuk mewujudkan pusat perniagaan untuk menjual produk tempatan, membantu usahawan kecil mendapat lesen, mewujudkan pangkalan data dan melatih modal insan terutama dalam kalangan generasi muda.

• Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara. 

LAIN-LAIN BERITA

Kisah Prabowo panglima terbuang

BERDASARKAN hitung pantas, Prabowo Subianto sudah hampir pasti akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Republik Indonesia ketujuh pada Oktober depan. Kiraan pantas dan tidak rasmi tersebut

Selidik pemungut derma

MENURUT pprm.dbp.gov. my derma ialah pemberian yang ikhlas berupa wang dan lain-lain kepada orang miskin; dan juga bantuan wang kapada kumpulan (yayasan dan lain-lain). Mudah

Kematian semakin dekat

KEMATIAN, sebagai satusatunya kepastian dalam kehidupan manusia, menghantui fikiran manusia sejak awal zaman.  Kehidupan pasti diakhiri dengan kematian sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah

Presiden kelapan bulan sepuluh

KIRAAN cepat (quick count) sejumlah badan bebas berkaitan Pemilihan Presiden (Pilpres) Indonesia 2024 pada Sabtu, 17 Februari, menunjukkan pasangan PrabowoGibran unggul teratas. Mereka meraih 58.48

Bahaya bah betina

SEKALI air bah, sekali pantai berubah. Sekali banjir melanda, air masuk rumah, keseluruhan isi di dalam rumah berubah. Banjir suatu fenomena alam yang sentiasa melanda

Kenapa perlu belanja lebih?

KETIKA melayari media sosial seperti Facebook, hampir setiap rakan alam maya atau netizen berkongsi mengenai bebanan hidup yang dialami disebabkan kenaikan harga barangan keperluan. Kos

BERITA TERBARU

Hari sedih buat rakyat Sarawak

KUCHING: Pemergian bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud, 87, yang menghembuskan nafas terakhirnya pagi tadi dirasai barisan pemimpin Bumi Kenyalang yang turut