Buktikan kehebatan ketika latihan industri

SISWA dan siswi yang mengikuti program komunikasi dan media wajib menjalani latihan industri sebelum mereka boleh bergraduat.

Walaupun ini musim Covid-19, mereka tetap menjalani latihan di organisasi media kerana akhbar, radio dan televisyen masih meneruskan operasi bagi menyampaikan maklumat terkini kepada khalayak.

Organisasi komersial lain mungkin boleh tutup tetapi organisasi media, khususnya televisyen dan radio terus bersiaran.

Cuti umum petugas media tetap bekerja kecuali pada hari rehat mereka.

Pengalaman ini dilalui oleh siswa-siswi yang membuat latihan di syarikat media massa.

Apabila orang lain bercuti, sebagai pelatih media, mereka turun bekerja. Pengalaman sebagai pelatih latihan industri membolehkan siswa-siswi program media sentiasa bersedia bertugas tanpa mengira masa dan tempat.

Bertugas pada hari raya tidak lagi janggal. Mereka dilayan sama seperti pemberita dan wartawan tetap yang bertugas di organisasi sama.

Latihan industri sememangnya sebahagian daripada pengajaran dan pembelajaran pelajar jurusan komunikasi dan media sejak program komunikasi pertama diwujudkan di Malaysia pada 1971 di Universiti Sains Malaysia (USM).

Selepas USM, Universiti Teknologi Mara ketika itu Institut Teknologi Mara pula menawarkan diploma sebaran am.

Yang jelas, pengajaran dan pembelajaran di industri memberi pendedahan dan pengalaman persekitaran kerja sebenar kepada pelajar program media.

Mereka dapat menerapkan dan mempraktikkan ilmu yang dipelajari di menara gading dalam alam pekerjaan.

Pengalaman ini membezakan pelajar komunikasi daripada pelajar program lain yang ditawarkan di universiti.

Kehebatan latihan amali program komunikasi ini mula menarik minat program lain menerapkan format latihan industri.

Program-program lain mula menggalakkan dan kemudiannya mewajibkan pelajar mereka menjalani latihan industri sebagai syarat bergraduat di agensi kerajaan dan swasta.

Program media dan komunikasi mampu mengendalikan latihan industri sebagai syarat bergraduat kerana jaringan rapat antara organisasi media dengan institusi pendidikan.

Kebanyakan tenaga pengajar program media dan komunikasi terdiri daripada kakitangan yang pernah bertugas dengan organisasi media, sama ada sebagai wartawan, editor, penerbit rancangan mahupun pengarah filem.

Pengalaman ini membantu tenaga akademik ini menstrukturkan program pembelajaran dan pengajaran yang menepati keperluan industri.

Teori dan amali yang diperlukan untuk menjadi seorang wartawan, penyiar, pengarah, penerbit, pengiklan, pegawai perhubungan awam dikenal pasti dan distrukturkan dalam kurikulum.

Hasilnya ialah graduan yang benar-benar menepati keperluan industri.

Pensyarah berpengalaman ini masak dengan asam garam kehidupan sebagai petugas media.

Masyarakat mungkin melihat aspek “glamor” tetapi tenaga akademik ini menelusuri cerita di sebaliknya yang jarang diketahui.

Pengalaman ini membolehkan siswa siswi program komunikasi dan media benar-benar peka dengan keperluan industri.

Mereka turut didedahkan kepada aspek-aspek perundangan dan pengurusan bagi membolehkan graduan program ini menerajui industri ini pada masa depan.

Dengan perubahan teknologi komunikasi, pensyarah berpengalaman industri sentiasa dikemaskinikan ilmu dengan suntikan daripada rakan di industri.

Semua ini menjadi pemula kepada program 2u2i yang dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi pada tahun 2017.

Kalau program latihan industri selama ini hanya selama satu semester, tetapi 2u2i menetapkan tempoh pembelajaran dan pengajaran siswa siswi dilanjutkan kepada sekurang-kurangnya setahun.

Industri mengambil alih tugas mengajar dan melatih siswa siswi. Di universiti, siswa siswi akan mendapatkan pendedahan selama dua tahun dalam aspek teori, amali dan metod sesuatu program dan selebihnya disambung dengan industri berkaitan. 2u2i ini termaktub dalam anjakan pertama Pelan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi) bagi membolehkan pelajar mengalami pembelajaran luwes menerusi pengalaman di luar kampus.

2u2i terdapat dalam pelbagai variasi seperti tiga tahun di universiti, satu tahun di industri (3u1i), dua tahun di universiti dan dua tahun di industri (2u2i), dan dua tahun di universiti dan satu tahun di industri (2u1i). Kesemuanya menetapkan jalinan akrab universiti dan industri.

Pada masa kini, terdapat 17 universiti awam melaksanakan program 2u2i, termasuk di empat buah universiti penyelidikan iaitu Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Putra Malaysia dalam pelbagai bidang. Program media seperti yang dijangkakan sememangnya menawarkan mod 2u2i ini.

Sebelum sesebuah universiti menawarkan program 2u2i, mereka harus menandatangani memorandum persefahaman (MoU) ataupun memorandum perjanjian (MoA) dengan rakan industri. MoU dan MoA ini menggariskan semua terma dan syarat dalam pelaksanaan program bersama universiti dan industri ini.

Memorandum ini menetapkan rakan industri akan dilantik dalam Lembaga Pengajian program. Lembaga pengajian yang terdiri daripada anggota industri dan universiti akan bersidang bersama-sama dalam merangka kursus bagi sesuatu program. Kursus-kursus yang perlu didedahkan di peringkat universiti diperhalusi supaya menepati keperluan industri.

Kursus-kursus memerlukan latihan dan pendedahan di industri turut dirangka sepenuhnya.

Di industri, staf organisasi dikenal pasti sebagai tenaga pengajar yang bertanggungjawab memberi siri latihan dalam aspek-aspek pembelajaran dan pengajaran berkenaan program berkenaan.

Mereka terlibat dalam pembelajaran berasaskan projek ataupun masalah. Projek ini mempunyai implikasi sebenar kepada mandiri sesebuah syarikat. Pelajar perlu menyerlahkan kehebatan apabila dilibatkan melaksanakan projek syarikat.

Pelajar program 2u2i biasanya menandatangani perjanjian menyimpan rahsia dan pelepasan hak milik sebelum dibenarkan terlibat dengan projek syarikat.

Pemilikan intelek bagi produk yang dihasilkan menjadi milik syarikat.

Masa inilah pelajar perlu menunjukkan kehebatan bekerja secara berwawasan dan beretika agar mereka diambil sebagai pekerja tetap selepas tamat pengajian.

Dr Mus Chairil Samani
ialah penganalisis media dan
perunding penerbitan

Suara Sarawak