Buktikan kontraktor bumiputera berkebolehan

KUCHING: Kontraktor Melayu dan bumiputera yang membida dan melaksanakan projek kerajaan harus menganggap projek tersebut sebagai peluang untuk menunjukkan prestasi pelaksanaan yang terbaik.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, projek yang dibida oleh kontraktor harus dilaksanakan dengan kualiti, produktiviti dan profesionalisme serta dapat disiapkan dalam jangka waktu yang ditetapkan.

Katanya, kontraktor Melayu dan bumiputera juga perlu sentiasa meningkatkan kapasiti dan kemampuan agar berupaya membida dan melaksanakan projek swasta dan tidak terlalu bergantung kepada projek kerajaan.

Beliau percaya, kontraktor kecil yang mempunyai rekod kerja yang baik, tidak akan menghadapi masalah dalam mendapatkan projek sektor swasta.

Jelas Fadillah, meskipun kontraktor utama dipilih dalam kalangan kontraktor besar untuk melaksanakan projek mega, kontraktor kecil masih berpeluang untuk bersaing mendapatkan kerja di bawah projek mega tersebut.

“Saya berharap kontraktor Melayu dan bumiputera terus berusaha, berinisiatif dan berdaya saing merebut semua peluang sedia ada. ‘

‘Kontraktor bumiputera perlu lebih proaktif dan bersiap sedia dalam keadaan norma baharu yang penuh cabaran dan perubahan,” katanya pada Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia Ke-41 melalui sidang video pada Selasa.

Fadillah berkata, dalam dunia perniagaan, kontraktor harus mengenal pasti peluang sepanjang masa. Beliau memberitahu, peluang berniaga di Malaysia amat luas, para kontraktor tidak seharus memasuki bidang yang sudah padat bidang tertentu sahaja, sebaliknya perlu lebih inovatif dan berani menerokai bidang baharu.

“Negara kita memerlukan lebih ramai usahawan yang mempunyai pemikiran positif, strategik dan berilmu pengetahuan dalam bidang perniagaan bagi menghadapi persaingan global.

“Mereka harus berani berdepan risiko menceburkan diri dalam pasaranbaharu yang tidak hanya bergantung kepada sektor pembinaan semata-mata,” jelasnya.

Beliau menambah, kontraktor boleh mempelbagaikan kegiatan seperti terlibat dalam bidang teknologi pertanian, minyak dan gas, teknologi maklumat dan multimedia.