SETIAP kali saya dijemput berkongsi pengalaman menulis, sama ada di sekolah, universiti atau pesta buku, hampir pasti akan ada seseorang yang mengangkat tangan lalu bertanya, “Apakah rahsia tuan dapat menulis begitu banyak buku?”
Saya mula menulis dan menerbitkan buku – itu pun kalau dapat dianggap sebagai buku – pada tahun pertama menjadi guru di SMK Tun Abang Haji Openg, Kuching, selepas lulus dari USM pada 1982.
Buku nipis itu berkaitan kesalahan umum dalam bahasa Malaysia, dari segi ejaan dan tatabahasa.
Saya terbitkan sendiri dan jual dengan harga RM2.50.
Buku itu bukan sangat untuk mendapatkan wang, tetapi lebih sebagai panduan pelajar yang menduduki peperiksaan SPM dan STPM.
Sejak itu, saya tidak lagi menoleh ke belakang.
Pada peringkat awal, saya banyak menerbitkan buku rujukan untuk peperiksaan dan rujukan murid dan pelajar sekolah rendah dan menengah.
Namun, ketika menjadi pensyarah UNIMAS mulai 2000, tumpuan saya beralih kepada buku yang lebih serius dalam pelbagai bidang – media, komunikasi, kewartawanan, politik, komunikasi politik, dan biografi.
Soalan mengapa saya prolifik, kembali saya dengar ketika menghadiri Pesta Buku Brunei 2026 baru-baru ini.
Saya hanya tersenyum.
Bukan kerana ingin menyimpan rahsia, tetapi kerana jawapannya mungkin mengecewakan.
Tiada formula ajaib.
Tiada juga bakat luar biasa yang turun dari langit.
Kalau ada rahsia sekalipun, rahsia itu terlalu biasa sehingga ramai orang tidak percaya.
Rahsia pertama ialah saya menulis dengan tekun, konsisten dan berdisiplin selama puluhan tahun. Ya, semudah itu.
Ramai orang suka bercakap tentang buku yang ingin ditulis.
Ada yang sudah mempunyai tajuk, jalan cerita, watak dan kulit buku dalam bayangan mereka.
Ada yang berkalikali berkata, “Nanti apabila ada masa, saya akan menulis.”
Namun, buku itu tidak pernah siap dan diterbitkan untuk tatapan pembaca.
Maksudnya, jika saya berazam untuk menulis sesebuah buku, saya akan segera melakukannya.
Pertama dan terlebih dahulu dengan menjalankan penyelidikan yang serius.
Menulis buku umpama perjalanan seribu batu, dengan dua pertiga daripadanya sekurang-kurangnya, bagi saya adalah untuk penyelidikan.
Buku tidak lahir daripada angan-angan.
Buku lahir daripada perkataan demi perkataan, ayat demi ayat, perenggan demi perenggan dan halaman demi halaman.
Saya tidak menunggu ilham datang mengetuk pintu.
Saya menulis dengan konsisten.
Kalau penat, saya tetap cuba menulis.
Sekali menulis, terus menulis.
Ya, pernah saya menulis secara berterusan dari jam tujuh pagi hingga 12 tengah malam.
Adakah ini satu obsesi atau kegilaan?
Kalau idea terasa kurang menjadi, saya tetap menulis.
Tulisan yang kurang baik masih boleh diperbaiki.
Halaman kosong pula tidak boleh disunting.
Rahsia kedua ialah disiplin mengatasi motivasi.
Motivasi memang menyeronokkan. Selepas menghadiri seminar atau mendengar ceramah inspirasi, semangat kita menggelegak.
Malangnya, semangat itu kadangkala hanya bertahan beberapa hari. Saya beri motivasi kepada diri sendiri pada setiap peringkat penulisan.
Misalnya, apabila menyiapkan sesuatu bab, saya akan minum atau pergi ke kedai atau restoran untuk menjamu selera.
Jika siap keseluruhan manuskrip, biasanya saya akan memberi ganjaran yang lebih besar kepada diri sendiri.
Disiplin
Disiplin pula tidak bergantung kepada perasaan.
Ia bergantung kepada kebiasaan.
Saya tidak menunggu sehingga terasa luar biasa bersemangat untuk membuka komputer.
Menulis sudah menjadi sebahagian daripada rutin harian.
Sama seperti kita memberus gigi atau minum kopi pada waktu pagi.
Apabila sesuatu sudah menjadi kebiasaan atau amalan, kita tidak lagi banyak berunding dengan diri sendiri. Rahsia ketiga ialah membaca.
Mustahil seseorang ingin menjadi penulis tetapi tidak suka membaca.
Membaca ialah makanan kepada penulis.
Semakin banyak membaca, semakin luas kosa kata, semakin pelbagai sudut pandang dan semakin kaya imaginasi.
Saya membaca buku, majalah, jurnal, akhbar, dokumen sejarah, termasuk di London.
Semua buku berkaitan digeledah, semua dokumen relevan ditelaah. Kadangkala saya membaca sesuatu yang langsung tiada kaitan dengan projek penulisan semasa.
Anehnya, beberapa bulan kemudian, maklumat itu muncul semula pada saat yang tepat ketika saya sedang menulis.
Ilmu memang begitu sifatnya.
Tiada yang benarbenar sia-sia.
Rahsia keempat ialah tidak terlalu mengejar kesempurnaan.
Ramai orang gagal menyiapkan buku kerana mahu ayat pertama mereka kelihatan sempurna.
Mereka menghabiskan masa berjamjam membetulkan satu halaman sehingga halaman kedua pun belum bermula.
Saya tidak menyunting ketika menulis.
Saya biarkan pemikiran mengalir lancar tanpa diganggu oleh suntingan.
Saya lebih suka menyiapkan draf terlebih dahulu.
Biarlah ada bahagian yang masih kasar.
Selepas keseluruhan manuskrip siap, barulah proses menyunting dilakukan.
Menulis dan menyunting ialah dua pekerjaan yang berbeza.
Jangan mencampurkan kedua-duanya pada masa yang sama sehingga kerja tidak bergerak ke mana-mana.
Rahsia kelima ialah sentiasa mencatat idea.
Idea sangat nakal.
Apabila kita tidak memerlukannya, ia datang bertubi-tubi.
Apabila kita benar-benar mahu menulis, semuanya hilang entah ke mana.
Sebab itu, saya membiasakan diri mencatat.
Tidak kira menggunakan telefon, buku nota atau sekeping kertas yang kebetulan berada di hadapan.
Ada idea yang hanya berupa satu ayat. Ada yang sekadar satu perkataan.
Catatan kecil itulah yang sering berkembang menjadi artikel, bab, malah sebuah buku. Rahsia keenam ialah jangan takut kepada kritikan.
Tidak semua orang akan menyukai apa-apa yang kita tulis.
Itu perkara biasa.
Jika sepuluh orang membaca buku kita, mungkin ada yang memuji, ada yang memberi cadangan dan ada juga yang tidak bersetuju.
Kritikan sesuatu yang biasa.
Ingat, tIdak ada buku yang sempurna dan lengkap.
Saya belajar membezakan antara kritikan yang membina dengan kritikan yang sekadar mahu menjatuhkan.
Yang membina saya jadikan cermin untuk memperbaiki diri.
Yang tidak membina pula saya simpan sebagai latihan menguatkan hati dan azam.
Kalau kita terlalu takut dikritik, akhirnya kita tidak akan menulis apa-apa.
Rahsia ketujuh ialah menulis beberapa buku pada satu masa.
Kadangkala saya ditanya, “Bagaimana boleh menghasilkan begitu banyak buku?”
Jawapannya mudah.
Saya tidak menulis satu buku serentak. Saya belajar teknik ini daripada Puan Ainon Mohamad. Saya pernah menulis empat buku serentak.
Saya tidak menyiapkan sebuah buku, dan kemudian berpindah kepada buku berikutnya.
Memang, ada ketikanya menyiapkan sebuah buku dahulu, barulah beralih ke buku baharu. Gunung yang tinggi pun didaki selangkah demi selangkah. Begitu juga dengan sebuah buku.
Tidak ada sesiapa yang menulis tiga ratus halaman dalam satu petang. Semua penulis bermula dengan satu ayat.
Rahsia terakhir mungkin yang paling penting.
Saya benar-benar menikmati proses menulis.
Sudah tentu ada hari-hari yang sukar.
Ada masa idea terasa buntu.
Ada ketika jadual terlalu padat.
Namun, setiap kali melihat sebuah buku siap dicetak dan akhirnya berada di tangan pembaca, segala penat lelah itu terasa sangat berbaloi.
Menulis bukan sekadar menghasilkan buku.
Menulis ialah meninggalkan jejak pemikiran.
Buku mungkin akan terus dibaca walaupun penulisnya sudah lama tiada.
Itulah keindahan sebuah karya.
Jadi, jika ada yang masih bertanya apakah rahsia saya dapat menerbitkan banyak buku, saya akan mengulang jawapan yang sama.
Tiada rahsia besar.
Tulis sedikit demi sedikit.
Baca sebanyakbanyaknya.
Jangan menunggu ilham yang sempurna. Jangan takut melakukan kesilapan.
Dan yang paling penting, jangan berhenti.
Konsisten dan terus menulis dengan penuh semangat.
Saya berazam untuk menulis dan menerbitkan seratus buku sebelum saya mengucapkan selamat tinggal kepada dunia ini.
Sebab, akhirnya, yang membezakan seorang penulis dengan orang yang bercita-cita menjadi penulis bukanlah bakat semata-mata.
Bezanya ialah seorang terus menulis sehingga lahir sebuah buku, manakala seorang lagi masih menunggu hari yang dirasakan paling sesuai untuk bermula.
• Dato Dr Jeniri Amir ialah penulis prolifik yang telah menerima pelbagai anugerah berkaitan dengan buku.






