ARTIKEL

Fatimah (dua kanan) bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (MWKS) di sini, hari ini.

Buku tentang 26 wanita cemerlang Sarawak dilancarkan pada 3 Ogos sempena Hari Wanita 2024

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebuah buku yang menampilkan 26 personaliti wanita Sarawak, yang berjaya dalam bidang inovasi dan teknologi, bakal dilancarkan pada 3 Ogos akan datang, sempena sambutan Hari Wanita 2024.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Seri Fatimah Abdullah, buku terbitan Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak (JWKS) itu bertujuan memberi inspirasi kepada golongan tersebut untuk terus maju ke hadapan dalam bidang berkenaan.

“Kementerian saya melalui JWKS sekali lagi menerbitkan sebuah buku sebagai usaha menghargai wanita-wanita kita yang telah memberi sumbangan berharga dalam bidang inovasi dan teknologi.

“Untuk tahun ini, kita memasukkan tokoh-tokoh wanita yang mencipta kejayaan cemerlang dan memberi sumbangan kepada komuniti bukan sahaja di peringkat negeri, malah hingga ke luar negara.

“Ia akan dilancarkan pada 3 Ogos kelak di Kuching,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Wanita dan Keluarga Sarawak (MWKS) di sini, hari ini.

Beliau berharap usaha penerbitan buku seumpama itu dapat memberikan inspirasi kepada lebih ramai wanita serta generasi muda untuk sentiasa memartabatkan semangat serta keyakinan agar terus maju ke depan dalam bidang inovasi dan teknologi.

“Di samping itu, kita akan mengadakan beberapa siri perkongsian dan menjemput tiga orang panel, iaitu tokoh-tokoh yang turut dimasukkan ke dalam buku berkenaan, untuk berkongsi ilmu serta pencapaian dalam bidang yang mereka ceburi,” jelasnya.

Sementara itu, Fatimah memberitahu sambutan Hari Wanita Sarawak 2024 bakal diadakan pada 10 Ogos di Hotel RH, Sibu.

“Bertemakan ‘Wanita Sarawak Dalam Inovasi dan Teknologi’, sambutan ini adalah bagi menghargai jasa, sumbangan dan kejayaan wanita dalam bidang inovasi dan teknologi.

“Di samping itu, ia meraikan sumbangan mereka ke arah pembangunan keluarga, negeri dan negara yang harmoni dan sejahtera serta mengiktiraf pelbagai kejayaan wanita yang mengharumkan nama Sarawak khasnya dan Malaysia amnya,” ujarnya.

Dalam pada itu katanya, Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg serta isteri, Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang, akan menjadi tetamu kehormat pada sambutan yang dijangka dihadiri sekitar 750 jemputan.

Sambutan tersebut juga akan dimeriahkan dengan beberapa pengisian lain, antaranya pameran dan jualan, selain disiarkan secara langsung melalui platform media sosial Facebook Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) bermula jam 8.30 pagi.

Program berkenaan juga bakal menyaksikan penyampaian beberapa anugerah, antaranya Anugerah Datuk Patinggi Laila Taib, Anugerah Premier Sarawak Kepimpinan Wanita, Anugerah Premier Sarawak Keusahawanan Wanita, Anugerah Premier Sarawak Penggiat Sosial Wanita, Anugerah Premier Sarawak Pencapaian Khas, dan Anugerah Premier Sarawak NGO Cemerlang.

BERITA LAIN

Rujuk status tanah sebelum buat rumah

BINTULU: Penduduk khususnya di rumah panjang perlu merujuk status tanah kepada agensi berkaitan terlebih dahulu, sebelum mendirikan perumahan baharu di kawasan yang dikenal pasti. Menteri

Polis lumpuh sindiket gula-gula getah dicampur dadah

KUALA LUMPUR: Polis melumpuhkan sindiket pengedaran gula-gula getah dicampur dadah dengan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM5.02 juta dalam serbuan berasingan di Cheras dan Seri Kembangan, semalam.Pengarah

BERITA TERBARU