Bumbung medan niaga dibaiki selepas PKP

KUCHING: Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) akan memulakan kerjakerja membaiki bumbung yang rosak di Medan Niaga Permaidani Kampung Boyan, Kampung Gersik dan Kampung Sourabaya (BGS) Petra Jaya selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP tamat.

Pengurus Besar SEDC Abdul Hadi Datuk Abdul Kadir berkata, bumbung di pusat penjaja itu rosak akibat ditiup angin kencang yang melanda bandar raya Kuching pada 6 April lalu.

“Pihak kami bersama-sama syarikat kontraktor hanya dapat menurunkan keseluruhan bahan bumbung yang rosak pada hari yang sama dan semua kerja hanya dapat diselesaikan pada 7 April,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, lampu dan kipas yang terdapat di pusat penjaja itu juga terpaksa ditanggalkan oleh pihak kontraktor bagi melindunginya daripada rosak akibat terdedah dengan cuaca.

“Kami tidak dapat menangani perkara itu secepat mungkin kerana PKP masih dikuatkuasakan. “Kontraktor kami hanya dapat melakukan kerja-kerja mereka selepas tempoh arahan ini (PKP) tamat,” katanya.

Jelasnya, pusat penjaja mula beroperasi pada 2009. “Tempat ini juga popular dalam kalangan pelawat tempatan dan asing yang boleh mencuba pelbagai makanan tempatan yang dihidangkan oleh 34 gerai makanan yang terdapat di sini.

“Pihak kami akan cuba menjalankan kerja-kerja pembaikan sebaik sahaja keadaan bertambah baik. “Buat masa ini pusat penjaja tersebut masih ditutup demi mematuhi PKP yang masih dikuatkuasakan,” jelasnya.

Suara Sarawak