Bungkusan teh Cina berisi 6.6 kilogram syabu

MIRI: Cawangan Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Miri merampas sebuah kotak berisi 6.6 kilogram (kg) ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu di sebuah premis syarikat penghantaran barangan, semalam.
Kotak terbabit dikesan sekitar jam 11.52 pagi selepas pasukan operasi mendapati keenam-enam kandungan objek yang berbungkus dengan teh cina itu adalah keras.
Pengarah JKDM Sarawak Herman Shah Abdullah yang mengesahkan kejadian berkata barangan tersebut didapati telah dihantar dari Semenanjung Malaysia menggunakan mod udara ke Lapangan Terbang Miri.
“Bungkusan kotak itu telah diikrarkan sebagai barangan isi rumah (Household Items) dalam borang Kastam No. 3 dan kandungannya dibungkus dengan bungkusan teh cina bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
“Hasil pemeriksaan mendapati keenam-enam bungkusan dadah itu adalah sebanyak 6.6 kg yang dianggarkan bernilai RM363,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dedah Herman, bahan terlarang itu dipercayai bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika sabit kesalahan individu yang terlibat boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati.
Beliau pada masa sama menyeru kepada orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam, 1-80088-8855 atau Pejabat Kastam yang berdekatan.
Ujarnya, pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.

Suara Sarawak