KUCHING: Seorang lelaki warganegara Indonesia berdepan tali gantung selepas didakwa di Mahkamah Majistret hari ini, atas kesalahan membunuh dua orang rakan sekerjanya di sebuah kapal ikan di Taman Perindustrian Ringan Muara Tabuan, 16 Ogos lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Kim Loi Ujin,47, yang mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Zaiton Anuar.
Berdasarkan dua pertuduhan, tertuduh didakwa telah membunuh Wong Jing Soon, 24, dan Ngu Yu Soon, 26, yang membawa hukuman gantung sampai mati di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan jika disabit bersalah.
Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa telah mencederakan Ngu Swee Hook, 52, yang merupakan kapten kapal menggunakan sebilah parang serta boleh menyebabkan kematian.
Pertuduhan ketiga didakwa di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum sepuluh tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana seksaan tersebut jika disabit bersalah.
Kesemua kesalahan tersebut dilakukan di atas sebuah kapal perikanan di Taman Perindustrian Ringan Muara Tabuan sekitar jam 2.31 pagi, 16 Ogos lalu.
Hakim Majistret menetapkan tiada jaminan ditawarkan dan tempoh tahanan reman juga dilanjutkan sehingga tarikh sebutan semula kes.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 24 September depan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang manakala tertuduh tidak diwakili peguam.