KUCHING: Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching kini memburu semua pemilik kenderaan yang menggunakan nombor plat yang tidak mengikut spesifikasi atau ‘fancy’, kabur atau palsu.
Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata ia kerana ramai orang menjadi mangsa kompaun disebabkan oleh penggunaan nombor plat ‘fancy’, kabur atau palsu.
“Ini disebabkan nombor plat ‘fancy’ atau kabur membuatkan ia sukar dibaca, malah ada yang palsu menyebabkan orang lain dikompaun oleh pihak berkuasa termasuk polis,” katanya pada sidang media di lokasi Operasi Khas (Nombor Pendaftaran) di Jalan Datuk Bandar Mustapha di sini, hari ini.
Menurutnya, setakat Ogos tahun ini sahaja, terdapat lapan kes dilaporkan apabila orang awam membuat aduan mengenai kenderaan mereka disaman sedangkan kenderaan itu bukan berada di lokasi ketika disaman.
“Ada yang kereta di negeri lain tapi dikompaun di sini disebabkan bila kita buat penguatkuasaan seperti kamera pengesan had laju (speed trap), nombor itu sukar dibaca dan akhirnya timbul nombor kereta yang dimiliki orang lain dan ada juga nombor yang palsu.
“Kita terima laporan dan aduan itu di sini (Kuching) dan ada yang kita kesan kenderaan itu sebenarnya bukan berada di Kuching tapi di luar daerah.
“Kita buat siasatan dan ada dokumen membuktikan nombor mereka telah dipalsukan atau salah baca,” katanya.
Sehubungan itu, Ahsmon berkata pihaknya telah melancarkan Operasi Khas (Nombor Pendaftaran) bagi mengesan penggunaan nombor plat ‘fancy, kabur atau palsu sejak dua hari lepas.
“Jangan menyusahkan orang lain, perbuatan menggunakan nombor plat ‘fancy’, kabur atau palsu membuatkan orang yang tidak bersalah mendapat masalah,” katanya sambil menegaskan kesalahan berkenaan boleh dikompaun sehingga RM3,000.
Pada masa sama, beliau turut mengingatkan kedai-kedai aksesori kereta agar tidak menjual nombor plat ‘fancy’.