Buruh binaan maut motosikal bertembung van

PADAWAN: Seorang buruh binaan maut selepas motosikalnya bertembung dengan sebuah van di Jalan Sungai Tapang, berhampiran Taman Tapang Emas di sini lebih kurang jam 1 petang tadi.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, kemalangan berlaku apabila mangsa, Chen Nyuk Shin, 55, dari Jalan Stampin hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan sebuah van yang datang dari arah bertentangan.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Umum Sarawak (HUS),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Manakala pemandu van terbabit, Gan Kun Hua, 38, yang bekerja sebagai juruteknik penghawa dingin tidak mengalami sebarang kecederaan.

Alexson menambah mayat mangsa telah dibawa ke HUS untuk tindakan lanjut.

Katanya kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.