ARTIKEL

Buruh paksa moden

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SEKALI-SEKALA media melaporkan pekerja asing, termasuk pembantu rumah di negara ini menjadi ‘buruh paksa’ oleh majikan.

Yang sering dibangkitkan ialah isu pekerja dari Bangladesh dan Indonesia.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono sebelum itu pernah membangkitkan isu penganiayaan terhadap pembantu rumah Indonesia di negara ini termasuk pekerja yang tidak menerima gaji bulanan selama 19 tahun.

Majikan jenis apakah yang tidak berhati perut dan tidak berperikemanusiaan itu?

Sebanyak 797 kes penderaan membabitkan pembantu rumah warga Indonesia dilaporkan kepada Kedutaan Indonesia di Malaysia sejak 2020 hingga Jun 2022.

Daripada jumlah itu, 22 kes disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Hermono berkata, selain mengalami penderaan fizikal, mereka turut dilayan seperti hamba moden kerana terpaksa bekerja bertahun-tahun tanpa gaji dan rehat yang secukupnya.

Dari awal pandemik sehingga Jun 2022, kedutaan menerima 12,923 laporan daripada pembantu rumah dan daripada jumlah itu, 797 kes melibatkan kes jenayah iaitu kes-kes penderaan.

Bukan mengejutkan jumlah sebenar yang menjadi mangsa penderaan jauh lebih besar daripada apa-apa yang dilaporkan.

Tentu kita bagai tidak percaya yang melakukan itu ialah mereka yang berpelajaran tinggi dan berstatus tinggi dalam masyarakat, termasuk yang bergelar Datuk dan ahli perniagaan yang berjaya. 

Mereka ini manusia yang tidak bertamadun.

Mereka ialah haiwan yang bertopengkan manusia.

Mengapakah mereka tergamak atau tega berbuat demikian?

Misalnya, seorang pembantu rumah warga Indonesia, Wesi Wendi, 47, mendedahkan, sepanjang empat tahun bekerja dengan seorang doktor bergelar Datuk, dia bukan sahaja tidak dibayar gaji, malah menjadi tempat majikannya meledakkan kemarahan dengan memukul dan melempang sesuka hati. 

Dia hanya diberi makanan hampir basi yang disimpan tiga ke empat hari di dalam peti sejuk.

Media sebelum ini melaporkan majikannya selalu memukul menggunakan kayu termasuk di bahagian kemaluan dan bahu, namun tidak pernah membawanya ke klinik untuk merawat luka-luka itu.

Dia dipukul sehingga kulit di atas keningnya terkoyak. 

Malangnya, mangsa tidak dapat berbuat apa-apa; sebaliknya sekadar menangis kerana bimbang akan nasibnya.  

Anda tentu masih ingat bagaimana seorang lagi majikan menyeterika tubuh seorang lagi mangsa manakala yang lain menyiram tubuh mangsa dengan air panas.

Adakah mereka ini manusia?

Atau adakah mereka ini bintang? Adakah mereka sudah hilang rasa kemanusiaan?

Mengapakah mereka ini begitu kejam dan tidak berhati perut?

Anda masih ingat akan kes dera Nirmala Bonat, juga pembantu rumah Indonesia?

Mahkamah Tinggi memerintahkan bekas majikan Nirmala Bonat membayar ganti rugi RM129,147.20 kepada pembantu rumah warga Indonesia itu kerana mendera dan mencederakannya.

Jumlah ganti rugi yang diterima Nirmala meliputi kecederaan di kedua-dua payudaranya, bahagian belakang, kecederaan di parut, lengan, kepala, muka, mulut, hidung dan tekanan emosi yang dialaminya.

 Suri rumah Yim Pek Ha dijatuhkan hukuman penjara 18 tahun selepas didapati bersalah mencederakan dengan parah Nirmala Bonat.

Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 2008 berkata, tindakan Yim yang telah mencederakan pembantu warga Indonesia itu dengan sadis tidak boleh diterima oleh masyarakat bertamadun.

Memang wajar hukuman berat dikenakan terhadap mereka yang tidak memiliki sekelumit pun rasa kemanusiaan.

Memang satu ironi untuk mendengar masih ada kes penganiayaan dan penderaan terhadap pekerja asing.

Laporan terhadap kes sedemikian pasti mencemar nama negara kita di mata dunia dan negara terbabit.

Justeru, kita tidak boleh membiarkannya meskipun sebenarnya kes sedemikian adalah sedikit dan lebih sebagai kekecualian.

Tetapi bukankah seekor kerbau yang membawa lumpur, semuanya terpalit?

Kementerian Sumber Manusia (KSM) menegaskan tidak akan berkompromi terhadap apa-apa amalan ‘buruh paksa’ melibatkan pekerja asing di negara ini termasuk sektor pembantu rumah.

Menterinya, V Sivakumar berkata, isu sedemikian memang sentiasa dalam perhatian kementerian, malah arahan diberikan kepada Jabatan Tenaga Kerja supaya tindakan tegas diambil terhadap majikan yang melanggar undang-undang itu.

Kes mendera pekerja asing atau memperlakukan mereka tanpa rasa kemanusiaan bukan baharu di negara ini. Kes ini sudah berlarutan sejak sekian lama.

Adakah majikan terbabit berasa mereka berhak memperlakukan apa-apa sahaja terhadap pekerja mereka? 

Imej dan reputasi Malaysia di luar negara tercalar teruk.

Malah, pernah suatu ketika timbul ketegangan hubungan antara Indonesia dengan negara ini gara-gara seekor kerbau yang membawa lumpur.

 Kita tidak harus memandang ringan akan perkara ini. Segala usaha perlu diambil untuk memastikan ia tidak menjadi fenomena.

Ini sesuatu yang malang. Kita belum betul-betul maju dan terpelajar jika kita tidak memiliki nilai-nilai murni, termasuk tidak memiliki rasa empati dan simpati terhadap pekerja.

Majikan yang kejam dan mendera pekerja harus dihukum seberat-beratnya, sepadan dengan kesalahan mereka.

Nama baik negara tidak harus dibenarkan tercalar oleh segelintir majikan yang kejam! 

• Dato Dr Jeniri Amir ialah penganalisis politik dan Felow Kanan Majlis Profesor Negara

LAIN-LAIN BERITA

Kisah Prabowo panglima terbuang

BERDASARKAN hitung pantas, Prabowo Subianto sudah hampir pasti akan mengangkat sumpah sebagai Presiden Republik Indonesia ketujuh pada Oktober depan. Kiraan pantas dan tidak rasmi tersebut

Selidik pemungut derma

MENURUT pprm.dbp.gov. my derma ialah pemberian yang ikhlas berupa wang dan lain-lain kepada orang miskin; dan juga bantuan wang kapada kumpulan (yayasan dan lain-lain). Mudah

Kematian semakin dekat

KEMATIAN, sebagai satusatunya kepastian dalam kehidupan manusia, menghantui fikiran manusia sejak awal zaman.  Kehidupan pasti diakhiri dengan kematian sebagaimana firman Allah SWT dalam al-Quran surah

Presiden kelapan bulan sepuluh

KIRAAN cepat (quick count) sejumlah badan bebas berkaitan Pemilihan Presiden (Pilpres) Indonesia 2024 pada Sabtu, 17 Februari, menunjukkan pasangan PrabowoGibran unggul teratas. Mereka meraih 58.48

Bahaya bah betina

SEKALI air bah, sekali pantai berubah. Sekali banjir melanda, air masuk rumah, keseluruhan isi di dalam rumah berubah. Banjir suatu fenomena alam yang sentiasa melanda

Kenapa perlu belanja lebih?

KETIKA melayari media sosial seperti Facebook, hampir setiap rakan alam maya atau netizen berkongsi mengenai bebanan hidup yang dialami disebabkan kenaikan harga barangan keperluan. Kos

BERITA TERBARU

Sarawak ngulit dua hari

KUCHING: Perintah Sarawak ngemendarka timpuh ngulit selampur nengeri pengelama dua hari, belabuh sehari tu enggau pagila. Nambah ke nya, tambai mega digitang tengan tiang aja