BINTULU: Seorang buruh warga asing bersama dadah jenis syabu berat kasar 5.2 gram dengan harga pasaran kira- kira RM800 dirampas dalam satu serbuan di ruang legar tingkat dua sebuah hotel bajet, Jalan Masjid, awal petang Selasa.
Suspek berumur 22 tahun itu ditahan sepasukan anggota polis dari Balai Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu diketuai Sub Inspektor Mahdi Ramli.
Ketua Polis Daerah Bintulu Superintenden Zulkipli Suhaili berkata hasil penelitian ke atas saspek, pihak polis menjumpai satu paket plastik lutsinar berisi ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan berat kasar 5.2 gram di dalam sebuah beg galas berwarna hitam.
Hasil ujian saringan awal pihak polis, katanya, mendapati saspek turut positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine , manakala semakan rekod polis turut mendapati saspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Menurut Zulkipli lagi, saspek disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Bagi kesalahan di bawah Sekyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan, saspek boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi lima tahun serta tidak kurang tiga dan tidak melebihi sembilan sebatan.
Sementara, bagi kesalahan di bawah Seksyen 15(1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 pula, saspek boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun jika sabit kesalahan.
