BARU-BARU ini, ruangan media sosial banyak mengupas isu graduan baharu yang menerima gaji lebih rendah pada 2020 berbanding 2019 dan ia dikaitkan dengan penularan Covid-19.
Kebanyakan graduan yang masih menuntut menyuarakan kebimbangan mengenai masa depan mereka sebaik tamat pengajian. Bagaimana hendak bayar hutang PTPTN? Gaji kecil, bagaimana hendak hidup?
Ini antara luahan mereka dalam ruang sembang Facebook. Tetapi tahukah anda, isu mengenai upah graduan ini sebenarnya bukan isu baharu.
Sebelum negara kita dilanda virus Covid-19 ini, isu upah graduan sering ditimbulkan oleh aktivis sosial serta graduan sendiri apabila dalam kalangan mereka ditawarkan upah tidak setimpal dengan sijil pendidikan.
Mengikut data daripada Bank Negara Malaysia (BNM) 2018, siswazah lulusan diploma mendapat gaji sebanyak RM1,458 pada 2010, berbanding RM1,376 pada 2018. Manakala, gaji graduan ijazah sebanyak RM1,993 pada 2010 berbanding RM1,983 pada 2018.
Trend gaji permulaan bulanan bagi kebanyakan siswazah dikatakan semakin mengecil sejak 2010 selepas mengambil kira faktor inflasi dan kurangnya pekerjaan berkemahiran tinggi. Namun, gaji permulaan siswazah yang ditawarkan antara RM1,001 hingga RM1,500 pada 2020, berbanding purata RM2,001 hingga RM2,500 yang direkodkan pada 2019.
Ini menunjukkan upah permulaan siswazah lebih baik pada 2019. Melihat kepada senario hari ini, apa pula faktor yang menyumbang kepada turun naik tawaran permulaan gaji siswazah?
Kebanyakan majikan akan menyatakan anggaran gaji bulanan tersebut logik dan wajar selari dengan keadaan ekonomi semasa hari ini. Ada yang menyatakan, jika ekonomi bagus, gaji yang ditawarkan juga besar.
Ada pula berkata, bekerja di luar negara boleh mendapat gaji besar kerana gaji diberikan menggunakan mata wang asing.
Namun, jika kita bertanya kepada majikan atau mana-mana syarikat, mereka pasti akan memberi seribu satu sebab kenapa gaji yang ditawarkan begitu rupa. Antara jawapan kita sering dengar ialah sijil pendidikan yang tertinggi, tidak akan menjamin mendapat gaji tinggi jika tiada pengalaman, begitu juga sebaliknya.

Persoalan sekarang, gaji permulaan siswazah yang memasuki pasaran pekerjaan lebih rendah tahun lepas dikaitkan dengan keadaan ekonomi semasa.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, permintaan pekerjaan berkurangan susulan kemelesetan ekonomi yang paling teruk dalam sejarah ekoran wabak Covid-19.
Memetik kata-kata Mustapa Mohamed; “Justeru, sudah pasti para graduan sanggup menerima gaji lebih rendah daripada biasa tetapi apabila ekonomi pulih dijangka pertengahan tahun ini permintaan buruh dan tenaga kerja akan bertambah.”
Melihat kepada frasa graduan sanggup menerima gaji lebih rendah, adakah seseorang graduan mempunyai pilihan lain dalam hal ini? Tidak.
Jika anda menolak tawaran pekerjaan itu, ramai lagi yang mahu kerana ramai orang mahu mencari pekerjaan. Jumlah pengangguran di Malaysia meningkat kepada 772,900 pada Disember 2020. Data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) juga menyatakan bilangan penduduk yang tidak bekerja buat sementara waktu meningkat kepada 146,200 orang berbanding November 2020 disebabkan pelaksanaan kawalan pergerakan serta cuti persekolahan dan cuti perayaan yang singkat.
Sepanjang tahun lalu bilangan penduduk bekerja menurun 0.2 peratus kepada 15.1 juta orang berikutan ketidakpastian dalam pasaran buruh susulan krisis kesihatan dan ekonomi.
Disebabkan negara mengalami permintaan buruh yang lebih perlahan disebabkan impak negatif pandemik Covid-19, bilangan penganggur mencatatkan pertambahan melebihi 200,000!
Bagi siswazah anda perlu bersaing dengan sejumlah besar kumpulan yang turut memohon jawatan yang sama. Yang pasti, dalam keadaan sekarang ini, gaji bukanlah persoalan, tetapi ia lebih kepada survival ketika pandemik Covid-19.