Cabaran jaga anak Autisme

SAMBUTAN Bulan Kesedaran Autisme kali ini tidak dapat disambut seperti tahun sebelum ini disebabkan arahan Perintah Pergerakan Kawalan (PKP) dikuat kuasa bermula 18 Mac lalu.

Bagi ibu tunggal, Shareena Mohd Salleh, 46, membesarkan anak autisme merupakan anugerah hidup buat dirinya bersama-sama tiga anaknya yang lain.

Seperti biasa, anak bongsunya Siti Aesyah Helmi, 14, suka meluangkan masa melakukan aktiviti fizikal pada setiap hari.

Oleh itu, Shareena turut meluangkan masa merakam video tentang kesedaran autisme kepada masyarakat di Facebook sempena sambutan Bulan Kesedaran Autisme.

“Semasa PKP ini, saya mengambil langkah membawa kucing peliharaan saya, Jengko untuk bermain bersama-sama dengannya,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak.

Jelasnya, Aesyah juga tidak keluar rumah sesuka hati dan faham akan situasi PKP kini.

“Aesyah hanya melambai-lambai kepadanya setiap kali saya pergi bekerja,” katanya.

Tambah Shareena, dia juga lebih suka bermain dengan kucing cuma perlu pengawasan yang lebih apabila melihat kucing liar walaupun berada di luar rumah.

Berdisiplin “Setelah beberapa ketika saya marah, saya suruh dia masuk bilik, dan dia berada di dalam sehingga keadaan tenang, ujarnya.

Tambahnya, walaupun anak autisme, tidak bermakna kita tidak boleh mendisiplinkan dia supaya dapat mengajarnya erti berdikari.

“Saya selalu melakukan senaman bersama-sama dengannya ketika PKP ini, selain menjadi rutin kini juga amalan mencuci tangan saya terapkan,” katanya.

“Sebelum makan, dia mesti cuci tangan walaupun tidak selalu mencuci kerana ini aktiviti terbaru sepanjang PKP ini termasuk menggunakan selipar dengan cara yang betul,” jelas Shareena.

Luahan Perasaan

Ujarnya, tiada siapa tahu isi hati dimahukan oleh Aesyah maka dia faham akan naluri kemahuan anaknya itu.

“Setiap hari merupakan pembelajaran baharu bagi saya dan menjadi harapan saya melihat dia mampu berdikari tanpa saya,” tambahnya lagi.

Ketika Aesyah tiba-tiba memegangnya dan menggigit, dia membiarkannya kerana dia mahu anaknya berasa puas hati kerana baginya cara meluahkan perasaannya.

Selain itu, beliau bersyukur kerana keluarganya menerima hakikat akan keadaan anak istimewanya. “

Selain itu, Aesyah juga mempelajari cara menggunakan sudu semasa makan dan dapat mengimbangi cawan semasa minum,” tambah Shareena.

Bertindak Awal

Selain itu, katanya jika ibu bapa mendapati keadaan anak mereka berbeza daripada anak lain, maka dapatkan pemeriksaan terapi segera.

“Lebih baik mengetahui daripada awal, sekiranya lambat maka susah untuk bantu mereka dan kemungkinan anak ini menjadi mangsa,” jelas Shareena

Ujarnya, ibu bapa mempunyai anak autisme ini, membawa mereka berjalan-jalan ke tempat awam akan menimbulkan pelbagai reaksi.

“Bagi saya, membawa mereka berjalan-jalan ke tempat awam penting untuk mengasah kemahiran sosial mereka,” tambahnya.

Nasihat Shareena, mereka perlu keluar untuk mengenal pasti keadaan persekitaran di luar kerana ia mampu mempengaruhi anak-anak ini.

Diharap masyarakat lebih memahami dan mendalami setiap peranan ibu bapa yang membesarkan anak istimewa ini.