Cabaran luar biasa sebelum peperiksaan

KUCHING: Berdepan tempoh getir akibat pandemik Covid-19, akhirnya seramai 401,105 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 bakal menduduki peperiksaan paling mencabar dalam sejarah negara hari ini.

Baik calon, ibu bapa mahupun guru merupakan golongan yang cukup teruja, setelah menunggunya begitu lama. Kesemua calon tersebut akan memulakan peperiksaan bagi kertas Bahasa Melayu dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Perkara ini diakui oleh pendidik yang mengajar calon SPM 2020, Abdul Aziz Zulkepli yang menyatakan bahawa sepanjang peperiksaan dijalankan, SOP perlu dipatuhi dengan lebih ketat. “Banyak persiapan yang telah dijalankan untuk peperiksaan SPM iaitu bukan setakat guru pengawas SPM yang terlibat malah guru-guru lain juga terlibat sama.

“Semua calon SPM 2020 juga perlu menjalani ujian suhu badan dan memakai pelitup muka sepanjang berada dalam kawasan sekolah, termasuk di dewan peperiksaan,” katanya.

Jelas Aziz yang juga guru Bahasa Melayu, pandemik Covid-19 menyebabkan calon SPM 2020 berdepan pelbagai cabaran luar biasa berbanding apa yang diharungi calon peperiksaan tahun terdahulu.

“Namun, persiapan sebelum menghadapi peperiksaan telah dilaksanakan oleh guru-guru sebelum pelajar menduduki peperiksaan tersebut.

“Terdapat guru yang telah membuat persiapan dengan menyediakan modul dan meneruskan perbincangan menerusi Google Meet. Malah terdapat juga guru yang mengadakan kelas tambahan dengan kebenaran daripada ibu bapa,” jelasnya.

Justeru itu, beliau dan guruguru yang lain turut berharap agar peperiksaan SPM kali ini berjalan dengan lancar dan para pelajar dapat menjawab soalan peperiksaan dengan sebaik mungkin.

Sementara itu, bagi pendidik Izatuldiana Idris, banyak persiapan yang telah dibekalkan kepada para pelajar sebelum mereka berada di garisan permulaan untuk memulakan larian (peperiksaan).

“Persediaan saya sebagai guru Sejarah adalah untuk membekalkan topik-topik penting yang perlu mereka fokus serta memberi mereka latihan dan rujukan.

“Saya juga sentiasa mendedahkan mereka dengan format soalan dan cara menjawab soalan terutama soalan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT). “Dengan teknologi yang semakin canggih kini, media sosial juga telah menjadi platform saya untuk para pelajar menyertai kuiz secara dalam talian berserta latihan yang lain,” katanya.

Dalam pada itu, sebagai seorang pendidik bagi mata pelajaran Sejarah, Izatuldiana mendedahkan bahawa adalah penting untuk kita sentiasa memberi sokongan moral dan kasih sayang kepada para pelajar agar ia dapat meningkatkan semangat mereka.

“Bagi saya, kita perlu sentiasa mendekatkan diri dengan para pelajar agar segala ilmu yang kita ajar akan dapat melekat di minda dan hati mereka. “Saya akan sentiasa bertanya kepada para pelajar mengenai perkembangan mereka dan sejauh mana persediaan mereka bermula dari tahun lepas sehingga saat-saat menghadapi peperiksaan SPM,” jelasnya.

Beliau mengucapkan selamat maju jaya kepada semua calon SPM 2020 dan diharapkan mereka dapat memberikan yang terbaik.