Cabaran patuhi kualiti Singapura

KUCHING: Komuniti peniaga Sarawak harus memenuhi jangkaan Singapura untuk mempertingkatkan hubungan perniagaan dan perdagangan dengan negara tersebut.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, jumlah pengeluar an yang besar bagi produk Sarawak untuk dieksport ke Singapura penting bagi memastikan ia berdaya maju.

Abang Johari berkata demikian kepada lebih seratus usahawan Sarawak pada Forum dan Ekspo Perniagaan Sarawak-Singapura di Pusat Konvensyen Suntec, Singapura.

Program sehari itu diadakan sempena pembukaan rasmi Pejabat Perdagangan danPelancongan Sarawak (Statos) di
Jalan Robinson di tengah-tengah kawasan perniagaan Singapura.

Forum tersebut menghimpunkan usahawan Sarawak dan komuniti ahli perniagaan Singapura di bawah Persekutuan
Pembuatan Singapura.

Program tersebut juga menampilkan pertukaran MoU dan MoA antara kedua-dua pihak.

Abang Johari berkata, ahli perniagaan Singapura yang turut menyertai forum tersebut memerlukan jumlah produk Sarawak yang besar dan ia merupakan cabaran bagi Sarawak terutamanya keluaran sektor pertanian.

“Apa yang saya risaukan adalah kita tidak mampu memenuhi jumlah yang mereka kehendaki.

“Oleh itu, anda mesti bersemangat untuk memenuhi kehendak pasaran Singapura,”
katanya.

Majlis tersebut turut menyaksikan pemeteraian perjanjian RM10 juta eksport buah-buahan dan perabot ke Singapura.

Ketua Menteri turut menegaskan bahawa faktor lain yang perlu dihadapi oleh Sarawak ialah pematuhan terhadap standard kualiti Singapura.

Beliau berkata, pengeluaran terutamanya barangan makanan harus mematuhi piawaian Singapura sekiranya hendak diterima di pasaran di sana.

Namun beliau yakin bahawa isu pematuhan dapat diatasi dengan bantuan Persekutuan Perniagaan Singapura yang sanggup menawarkan perkhidmatan pengauditan proses pengeluaran di tapak pengeluaran.

“Audit yang berjaya akan memenuhi syarat pengusahatempatan dengan pensijilan tertentu yang membolehkan mereka memasuki pasaran.

“Sekiranya kita dapat memenuhi standard Singapura, maka saya fikir kita dapat memenuhi standard negara-negara lain di rantau ini dan rantau lain,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa imbangan perdagangan dengan Singapura berpihak kepada negara tersebut dan hubungan baharu yang dipertingkatkan harus memberi peluang kepada Sarawak untuk merapatkan jurang dengan pengeluaran barangan, khususnya barangan makanan.

Statistik menunjukkan bahawa Singapura menyumbang kira-kira 2 peratus daripada jumlah perdagangan Sarawak berjumlah AS$35.6 bilion pada 2018.

Beliau turut berkata, Sarawak seterusnya akan beralih ke Pontianak di Kalimantan sebagai lokasi pejabat perdagangan dan pelancongan.

Beliau menyuarakan kepercayaannya bahawa cadangan penempatan semula ibu negara Indonesia ke Kalimantan akan menjadi lonjakan ekonomi kepadaSarawak dan ia harus memanfaatkan perubahan itu, terutama dalam pengeluaran makanan.