KUCHING: Anggota badan beruniform bukan sahaja memerlukan kesihatan yang baik semasa bertugas, tetapi juga konsistensi fizikal dan mental tanpa mengira usia dalam memberikan khidmat terbaik kepada masyarakat.
Menerusi tinjauan Suara Sarawak sempena Cabaran Penyelamat Pantai Sarawak anjuran Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) mendapati penglibatan dari 20 hingga 43 tahun terdiri daripada anggota badan beruniform.

Menurut Mohamad Shamreen Sapawi, 20, ini merupakan pengalaman pertama mengikuti cabaran ini setelah bersama APM sejak lapan bulan yang lalu, walaupun gementar kerana merupakan anggota termuda berbanding peserta yang lain.
“Selain menguji kekuatan diri, saya juga mempelajari pelbagai ilmu dan semakin yakin untuk bercakap berdepan di khalayak ramai.

Manakala Farah Farhanah Zawawi, 20, berkata, cabaran seperti ini sememangnya menguji ketahanan fizikal memandangkan seorang anggota perlu sentiasa bersedia terhadap apa jua cabaran.
Peserta paling berusia Mariana Kipli, 43, dari kontinjen Tanjung Manis turut tidak ketinggalan memberi saingan kepada anggota lain dalam cabaran penyelamat pantai ini.

“Saya bersetuju untuk mengikuti cabaran ini kerana mahu menguji kemampuan diri walaupun saya tahu perlu bersaing dengan orang muda,” katanya.
Sementara, Jabir Kipli, 43, turut mendedahkan bahawa ini merupakan pengalaman pertama beliau mengikuti cabaran seperti ini melibatkan seluruh bahagian di Sarawak.