Cabaran perlu diterima

KELAB Kuching FA akan mengikut segala garis panduan pelarasan gaji daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk pemain dan pegawai yang bermula Mei ini.

Presiden Kuching FA, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, tiada masalah bagi mereka untuk melakukan apa yang diarahkan.

“Ia melibatkan pemain tempatan, pemain import dan pegawai pasukan,” katanya.

“Kita akur dengan apa jua keputusan FAM dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Ia adalah satu cabaran yang harus diterima semua pasukan, sama seperti industri-industri lain yang turut terjejas akibat Covid-19,” jelas Fazzrudin.

Menurut FAM, terdapat empat kategori pemotongan gaji iaitu antara 10 peratus hingga 30 peratus.

Kategori 1 (yang bergaji RM4,999 dan ke bawah), 15 peratus bagi Kategori 2 (gaji RM5,000 hingga RM9,999), 20 peratus bagi Kategori 3 (gaji RM10,000 hingga RM14,999) dan 30 peratus buat Kategori 4 (gaji RM15,000 ke atas).

Sehingga sekarang hanya separuh daripada pasukan yang bertanding dalam Liga M 2020 bersetuju untuk pemotongan gaji.

Sementara itu, Fazzrudin enggan mengulas mengenai jadual dan format baharu Liga Malaysia yang dirancang oleh FAM kerana belum ada sebarang keputusan muktamad.

Mengikut jadual baharu, Liga M akan disambung semula pada 1 September depan, manakala jumlah perlawanan dalam Liga Super dan Liga Premier dikurangkan.

Piala Malaysia pula diadakan secara kalah mati, manakala Piala FA dan Piala Cabaran dibatalkan.

Menurut Fazzrudin, para pemain Kuching FA sekarang ini menjalani latihan seperti biasa, sementara menunggu keputusan muktamad daripada FAM dan FML.

“Pemain kita sentiasa menjalani latihan individu di rumah masing- masing dan akan melakukan persediaan sekiranya Liga Malaysia disambung semula,” ujarnya.

Liga M 2020 yang membabitkan Liga Super, Liga Premier, Piala FA, Liga M3, Piala Presiden dan Piala Belia ditangguhkan sejak pertengahan Mac lalu, ketika saingan liga baharu memasuki empat perlawanan.

Namun sehingga kini belum ada keputusan muktamad, sama ada ia akan disambung semula atau dibatalkan.