Trending

Cadang perluas konsep Rahmah kepada sektor perbankan, insurans

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel
PAKEJ RAHMAH… Salahuddin (dua kanan) menunjukkan barangan Pakej Rahmah yang ditawarkan di Everise, Metro City di sini. – Photo Alif.

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bercadang untuk memperluaskan konsep Rahmah kepada sektor perbankan dan insurans pada masa akan datang.

Menteri KPDN Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, usaha tersebut merupakan antara langkah ke hadapan kerajaan bagi membantu meringankan beban rakyat.

“Memang ada cadangan memperluaskan konsep Rahmah ke sektor lain dan bercadang untuk berjumpa dengan pihak berkaitan dalam masa terdekat.

“Saya akan mengadakan sesi libat urus bersama pihak bank dan insurans untuk mengenal pasti pakej yang boleh mereka tawarkan kepada rakyat,” katanya pada sidang media selepas Pelancaran Inisiatif Pengumpulan Barangan Pakej Rahmah di Everise Metro City, Matang, di sini hari ini.

Berhubung Pakej Rahmah yang dilancarkan, Salahuddin berkata, rakyat dapat membeli barang keperluan harian pada harga murah sehingga RM10 berbanding harga biasa di Everise Metro City di sini.

Katanya, ia menawarkan pelbagai barang keperluan pada harga antara RM30 hingga RM99.

“Pakej Rahmah ini kita jayakan dengan kerjasama pemain industri peruncitan bagi meringankan lagi kos sara hidup rakyat.

“Pakej ini adalah beberapa set barangan yang dijual berkonsepkan Rahmah dengan rakyat boleh mendapatkan barangan tersebut pada harga lebih murah atau membeli set barangan untuk disedekahkan kepada insan yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu kata Salahuddin, Kerajaan Persekutuan tidak menawarkan inisiatif khusus kepada peniaga dan premis yang menawarkan jualan berkonsepkan Rahmah sebaliknya membantu mempromosikan perniagaan mereka.

Pada masa sama kata beliau lagi, KPDN kini sedang membangunkan aplikasi bagi membantu orang ramai mengetahui premis yang menawarkan harga jualan berkonsepkan Rahmah di seluruh negara.

“Kita juga berusaha untuk masukkan senarai premis tersebut dalam aplikasi sedia ada seperti ‘MySales Tracker’ selain portal KPDN,” ujarnya.

TINJAUAN… Salahuddin melakukan tinjauan harga barangan dijual di Everise, Metro City di sini. – Photo Alif

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

10 Disember 2023

Berita Terbaru