ARTIKEL

Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak, Zulkiflee Sebli.

Cadangan kerajaan sediakan elaun kos sara hidup buat pelajar dan guru Tingkatan Enam sudah lama dinantikan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BETONG: Jika cadangan menyediakan elaun kos sara hidup kepada pelajar Tingkatan Enam diluluskan, ia akan menarik minat pelajar untuk menyambung pendidikan pada peringkat itu.

Bagaimanapun, Presiden Kesatuan Guru Bumiputera Sarawak (KGBS), Zulkiflee Sebli, menegaskan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) harus menentukan kaedah dan cara sesuai bagi pengagihan elaun ini, sama ada melalui ibu bapa atau terus ke akaun pelajar.

“KGBS menyambut baik cadangan pemberian elaun kos sara hidup kepada pelajar dan guru penolong kanan Tingkatan Enam yang akan dibawa KPM ke peringkat Belanjawan Negara melalui Kementerian Kewangan.

“Kita berharap jika pemberian elaun ini diluluskan, ia akan menarik minat pelajar untuk menyambung pendidikan dalam kolej Tingkatan Enam,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Jelasnya, pemberian elaun kepada guru-guru Tingkatan Enam ini memang sudah lama diperjuangkan memandangkan beban tugas guru, terutamanya yang mengajar Tingkatan Enam, lebih mencabar.

Membimbing pelajar Tingkatan Enam memerlukan kemahiran dan kepakaran guru yang tinggi, katanya.

“Bagi pelajar pula, kita berharap pemberian elaun kos sara hidup ini digunakan sebaik mungkin.

“Kita tidak mahu jika ada diberikan nanti, akan berlaku pembelian yang tidak patut oleh pelajar itu.

“KPM juga harus sentiasa mengingatkan pelajar bahawa elaun itu bukan digunakan untuk membeli barangan yang tidak perlu.

“Sebaliknya, mereka harus membelanjakan sebaik mungkin demi kelangsungan hidup sejajar dengan nama elaun ini, iaitu elaun kos sara hidup,” ujarnya.

Bagi guru Tingkatan Enam yang menerima elaun ini, tambahnya, KGBS yakin mereka akan lebih komited dan bersemangat untuk mendidik dan membimbing pelajar.

“Kerana mereka boleh merancang projek luar kelas yang lebih membuka minda pelajar, terutama yang berada di luar bandar.

“Elaun berkenaan boleh menampung sedikit sebanyak kos projek luar yang dirancangkan,” tegasnya.

Kini, KPM sedang memperincikan cadangan untuk menyediakan elaun kos sara hidup pelajar dan guru penolong kanan Tingkatan Enam sebelum dibawa ke peringkat Belanjawan Negara melalui Kementerian Kewangan.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata langkah itu antara usaha penjenamaan semula pendidikan Tingkatan Enam di negara ini, selain memastikan kualiti pendidikan itu diperluas dan dipertingkatkan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU