KUCHING: Cadangan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Islam Selangor dan Negeri Sembilan berhubung pembentukkan kerajaan Melayu Islam termasuk kenyataan balas daripada Persekutuan Hak Asasi Global (GHRF) Malaysia hanya sekadar mencari publisiti.
Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua pihak sama sekali tidak boleh diterima pakai.
Jelasnya, kenyataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua pihak, jika dibaca sama secara teliti juga tidak masuk akal.
“Sesiapa sahaja boleh memberikan pandangan, sama ada pandangan itu ideal atau tidak, ia terpulang kepada kita untuk hadam.
“Mereka yang memberikan komen termasuk dua tiga badan NGO dari Sabah dan Sarawak termasuk Peter John Jaban, seolah-olah teruja akan perkara tersebut
“Bagaimanapun, ia tidak bermakna NGO Muslim yang mencadangkan idea ini terus diterima pakai oleh Kerajaan Malaysia, terus diterima pakai oleh Kerajaan Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pembangunan Belia Sarawak di Dewan Suarah Kuching, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dr Ripin Lamat dan Setiausaha Tetap Kementerian Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Morshidi Frederick.
