Cadangan S’wak dapatkan vaksin sendiri dipuji

KUCHING: Langkah Kerajaan Sarawak untuk mendapatkan vaksin sendiri bagi menampung bekalan vaksin di negeri ini adalah satu langkah yang proaktif, kata Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman.

Menurut beliau, langkah tersebut adalah sebagai pelan kontingensi untuk menampung bekalan yang sedia ada daripada Kerajaan Persekutuan.

“Saya percaya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak akan mendapatkan nasihat mengenai perkara ini daripada Kumpulan Penasihat Vaksin Covid-19 Sarawak (Scovag) yang diketuai oleh mantan Pengarah Kesihatan Sarawak, Datuk Dr Andrew Kiyu Dawie,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi mengulas program imunisasi Covid-19 di Sarawak, hari ini.

Kelmarin, Pengerusi JPBN merangkap Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas memberitahu Kerajaan Sarawak sedang mengkaji kebarangkalian untuk membeli sendiri vaksin Covid-19 bagi mempercepatkan program vaksinasi di negeri ini.

Suara Sarawak