LIMBANG: Kementerian Pengangkutan akan mengambil perhatian cadangan mengenai penambahan sekurang-kurangnya satu lagi laluan penerbangan langsung antara Kuching dan Limbang.
Perkara ini dinyatakan oleh timbalan menterinya, Datuk Kamarudin Jaffar semasa menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah di semasa persidangan parlimen di Dewan Rakyat, kelmarin.
Menurut Kamarudin, beliau kagum dengan komitmen Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah yang mengambil berat tentang kebaikan masyarakat khususnya semua pengundi di kawasan Limbang.
“Sudah tentu saya akan bawa hasrat beliau (Hasbi) ini untuk pemerhatian syarikat penerbangan yang berkaitan,” ujarnya.
Terdahulu, Hasbi berkata, Limbang sudah ada tiga penerbangan langsung dari Kuching dan harganya jauh lebih rendah jika menggunakan laluan penerbangan itu melalui hab di Miri.
Melalui pemerhatian, katanya, penerbangan langsung itu sekarang lebih diminati orang awam berbanding dengan penerbangan transit di Miri.
Oleh itu, beliau berharap kerajaan menambah sekurang-kurangan satu lagi penerbangan langsung antara Limbang dan Kuching.
“Saya berpendapat, dengan adanya pertambahan laluan penerbangan ini akan memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat selain daripada harga yang dikenakan lebih murah.
“Berdasarkan pemerhatian, bilangan pengguna mencatatkan pertambahan terhadap penerbangan ini,” kata Hasbi.