Cakna keselamatan pelajar luar bandar utara Sarawak

KESELAMATAN bermaksud aspek selamat, sejahtera, aman dan terlindung daripada sebarang masalah fizikal, sosial, kewangan, politik, perasaan, pekerjaan, psikologi, pelajaran dan perkara yang boleh melibatkan kerosakan atau kejadian yang tidak diingini berlaku.

Justeru, isu berkaitan keselamatan bukan perkara baharu dan menjadi tumpuan di mana-mana sahaja. Fokus sekarang ialah keselamatan di sekolah kerana ia melibatkan masa depan anak Malaysia.

Aspek keselamatan ialah pencegahan sebarang kes kemalangan dan kecederaan di sekitar sekolah, di dalam kelas termasuk kawasan yang masih berada di dalam lingkungan pagar sekolah.

Bukan sahaja di kantin, dewan, bilik komputer, asrama, bilik mandi, tandas dan dapur, malah menjangkau kawasan stor peralatan permainan.

Sebagai langkah awal mengelakkan perkara tidak diingini berlaku, bermakna langkah pencegahan perlu dirancang, disusun dan dilaksanakan dengan terperinci demi kebaikan semua warga sekolah.

Struktur bangunan turut menjadi keutamaan – harus bebas elemen yang boleh menyebabkan mendapan tanah dan bangunan sekolah runtuh.

Siling bangunan juga perlu kerap diperiksa bagi mengelakkan runtuhan, yang mungkin akan menimpa pelajar.

Seterusnya tiang yang menyokong struktur utama bangunan juga wajar kerap diperiksa bagi mengelakkan kebarangkalian bangunan runtuh.

Selesa dan selamat

Selesa dan selamat merupakan ungkapan yang sering keluar dari hati penghuni sekolah.

Bangunan sekolah yang selesa menjadi idaman setiap warganya. Tiada guru dan pelajar mahukan sekolah mereka kekal uzur.

Seperti yang dihebahkan, kini masih banyak sekolah luar bandar di utara Sarawak boleh dikategorikan sebagai uzur.

Bukan sahaja membahayakan keselamatan guru dan pelajar, malah pencapaian akademik pelajar turut menerima kesan.

Menurut kajian institusi pengajian tinggi tempatan, keadaan sekolah selesa akan mempengaruhi kecemerlangan pelajar, sekali gus membolehkan pelajar fokus sepenuhnya terhadap proses pengajaran dan pembelajaran.

Sebagai bekas pelajar yang pernah duduk di dalam kelas usang, penulis faham keadaan sekolah di luar bandar yang masih usang dan tidak selamat – mencetuskan rasa kurang selesa pelajar.

 

Akhirnya mereka tidak dapat memberikan perhatian penuh ketika guru mengajar. Ini antara faktor penyebab jurang pencapaian kecemerlangan sekolah bandar dan luar bandar terutamanya di negeri ini jauh berbeza.

Sekolah di luar bandar uzur, sebaliknya sekolah di bandar lebih moden, selamat dan selesa.

Situasi itu menyebabkan ada rasa ketidakadilan, namun pelajar luar bandar tetap mengharapkan ia segera diatasi.

Tidak dinafikan, ada juga sekolah tidak mempunyai jalan raya yang sempurna. Bukan keterlaluan jika ada pelajar yang terpaksa berjalan kaki dan menggunakan pengangkutan air semata-mata untuk memperoleh ilmu di sekolah.

Jika hujan lebat dan berlaku fenomena air pasang besar, sesetengah sekolah tidak dapat beroperasi.

Untuk ke sekolah, guru dan pelajar terpaksa menunggu air surut.

Disebabkan itu, proses pengajaran dan pembelajaran terganggu, lebih-lebih lagi di kawasan yang liputan Internetnya lemah.

Malah, di sesetengah kawasan, langsung tiada liputan Internet. Selain prasarana dan keselamatan sekolah, jurang beza liputan Internet juga menjadi masalah, yang menyebabkan pelajar dari luar bandar dan pedalaman sukar untuk mengakses Internet.

Mendukacitakan apabila pelajar ini tidak berpeluang menguasai pembelajaran secara digital. Sebagai landasan pertama menimba ilmu, persekitaran sekolah harus ceria, bersih dan selamat.

Bermakna guru dan pelajar harus berasa selesa untuk mencatat keputusan cemerlang akademik dan kokurikulum. Bagaimanpun, kecemerlangan sekolah juga harus melihat tahap penyelenggaraan fasiliti sekolah yang baik.

Prestasi baik sekolah bukan sahaja dinilai dari segi penilaian kecemerlangan pelajar tetapi persekitaran sekolah yang ceria, menarik dan selamat.

Tidak adil jika sesebuah sekolah itu cemerlang dari segi penilaian akademik tetapi keceriaan dan keselamatan warga sekolah pada tahap rendah.

Oleh itu, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak harus segera memastikan segala keperluan sekolah di luar bandar berada dalam keadaan terbaik. Hal ini bagi memastikan jurang sekolah bandar dan luar bandar dapat dikurangkan.

Suara Sarawak