
KOTA SAMARAHAN: Penggiat muzik tempatan di Sarawak digalakkan menceburi dan menembusi pasaran industri tersebut di negara jiran, Indonesia.
Penyanyi terkenal Indonesia, Cakra Khan berkata, untuk menembusi pasaran tersebut penggiat seni perlu berani mencuba dan bersikap tidak pernah menyerah kalah.
Beliau turut mengakui perjalanan untuk mencapai ke peringkat tersebut bukan perkara mudah dengan mengambil pengalamannya ketika mula-mula menceburi industri tersebut pada tahun 2012.
“Untuk mereka (penggiat seni muzik) yang mahu terjun ke industri muzik walau di mana sekali pun berada, yang pertama adalah kita perlu mempunyai mentaliti untuk tidak pernah menyerah.
“Menyingkap kembali ketika saya menyertai industri muzik pada tahun 2012, pada ketika itu saya telah mencuba segalanya dan pernah merasai dipinggir dan dibuang begitu sahaja.
“Saya percaya masa kita akan tiba, cuma perlu mencuba lagi dan lagi atau dalam bahasa lainnya ‘keras kepala,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di Detar Putra Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ketika ditanya pemberita tentang usaha penggiat seni Sarawak yang ingin menembusi industri muzik di Indonesia, hari ini.
Pada masa sama, artis berusia 30 tahun itu mengakui mahu berduet dengan penyanyi negara, Jaclyn Victor sekiranya diberi peluang untuk membuat persembahan bersama-sama suatu hari kelak.
Katanya, Jaclyn antara penyanyi Malaysia kegemarannya yang mempunyai cara dan kreativiti tersendiri dalam menyampaikan sesebuah lagu dan persembahan.
Cakra Khan antara penyanyi jemputan khas oleh pihak UNIMAS untuk konsert mini dalam program Faca Fest 2023 anjuran Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) yang berlangsung selama 10 hari bermula Selasa lalu (24 Januari).