SIBU: Calon Bebas bagi Dun Dudong Engga Unchat telah menarik diri daripada bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12 Sarawak Ke-12 pada malam Jumaat.
Penarikan saat akhir Engga telah dibuat menerusi surat yang ditandatangani Pegawai Pengurus Pilihan Raya bagi Dun Dudong, Abdul Razak Awang Bini.
Surat berkenaan mula tersebar di laman sosial lewat malam tadi dan Engga, 65, dalam hantaran di akaun Facebook mengesahkan keputusan menarik diri itu.
“Dengan surat ini, saya mengumumkan menarik diri sebagai calon yang akan bertanding dalam PRN-12 Sarawak.
“Saya calon Nombor 8 (lambang Kunci) di Dun Dudong melalui surat ini mengesahkan penarikan diri saya daripada bertanding dalam PRN-12 Sarawak.
“Saya dengan ini memberikan sokongan penuh dan padu kepada calon (GPS) Dun Dudong Datuk Seri Tiong King Sing,” katanya.
Beliau berkata, keputusan itu diambil bagi memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan Dudong.
“Saya menyeru pengundi di kawasan ini untuk memberi sokongan sepenuhnya kepada calon GPS,” katanya.
Kawasan Dun Dudong menyaksikan paling ramai calon bertanding pada PRN-12 Sarawak iaitu seramai lapan orang.
Mereka ialah Tiong yang mewakili GPS; Paul Ling Fong (DAP), Wong Hie Ping (PSB), Julius Enchana, (PBDSB), Dr Jane Lau (PBK), Josephine Lau (Aspirasi) dan Fadhil Mohamad Isa (Bebas).