
SIBU: Rakyat digesa untuk memberikan sokongan padu kepada dua calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) di sini yang berpengalaman terutama apabila mereka telah berkhidmat dengan baik di pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Sangat sukar untuk mencari calon seperti Clarence Ting Ing Horh kerana beliau merupakan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) yang bekerja keras.
“Wong Ching Yong juga sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) juga mampu berkhidmat dengan baik di kawasan DUN Lanang berdasarkan pengalamannya dalam berkhidmat kepada masyarakat,” kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Lee Khim Sim pada Majlis Makan Tengah Hari Perpaduan anjuran Persatuan Komuniti Durin di sini, hari ini.

Ting terlibat dalam pertandingan tiga penjuru untuk kerusi Parlimen Sibu manakala Ching Yong pula berhadapan dengan tiga lagi calon untuk kerusi Parlimen Lanang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) ini.
Lee yang juga Adun Senadin percaya jika kedua-dua mereka diberi peluang lima tahun sebagai Ahli Parlimen, mereka akan membawa perubahan dan pembangunan kepada kawasan masing-masing.
Beliau berkata, penduduk bandar ini sebenarnya bertuah kerana mempunyai kedua-dua mereka dan oleh itu mereka tidak seharusnya melepaskan peluang menghantar Ting dan Ching Yong ke Parlimen.
“Pilihan raya ini juga adalah masa terbaik untuk menunjukkan sokongan penuh kita kepada semua 31 calon GPS kerana kami bertanding atas platform sendiri dan bukannya dalam mana-mana gabungan seperti sebelum ini,” kata Lee.
Selaras dengan itu, beliau berkata, rakyat perlu bersatu bagi memastikan GPS menang besar supaya ia mempunyai kuasa tawar menawar yang lebih kukuh untuk berunding mengenai pengembalian hak negeri di bawah MA63.
Sementara itu, penyandang kerusi Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing turut menyeru rakyat memberikan sokongan penuh kepada GPS yang diketuai Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada pilihan raya kali ini.
Hadir sama ialah Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Michael Tiang Ming Tee, Adun Bukit Assek Chieng Jin Ek serta kenamaan lain.