
KUCHING: Calon-calon jurulatih yang akan mengemudi dua skuad pelapis, Piala Presiden dan Piala Belia untuk saingan musim depan sudah dikenal pasti.
Presiden Sarawak United FC (SU FC), Datuk Posa Majais memberitahu, namun pihaknya belum dapat mengumumkan secara rasmi dua nama penting itu setakat ini.
“Kita sudah mengenal pasti dua nama jurulatih, pengumuman rasmi akan dilakukan selepas mesyuarat exco yang dijadual pada awal bulan Disember nanti,” jelas Posa kepada Arena Suara Sarawak.
Menurut Posa, kredibiliti kedua-dua calon itu sememangnya menepati kriteria diinginkan.
“Diharap kedua-dua calon jurulatih itu dapat membentuk pasukan pelapis dengan lebih mantap. Diharap pengalaman yang ada dapat menyaksikan penampilan berbeza untuk kedua-dua pasukan itu kelak,” tambah Posa.
Katanya, belum diketahui tarikh bagi memulakan latihan membabitkan kedua-dua pasukan terbabit.
Akan tetapi, pihaknya akan menetapkan latihan akan bermula lebih awal untuk memastikan masa yang ada untuk membentuk pasukan.