LEBIH 21.1 juta rakyat negara ini, termasuk 1.94 juta rakyat Sarawak layak melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilih pada 19 November depan, bagi menubuhkan Kerajaan Malaysia yang baharu.
Mengikut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), daripada jumlah itu, seramai 5.8 juta merupakan pemilih baharu.
Daftar pemilih semasa sebelum Pendaftaran Pemilih Secara Automatik (PPSA) dimandatorikan pada 15 Disember 2021 adalah seramai 15.3 juta.
Sehingga Januari lalu, seramai 1.2 juta pengundi baharu ini berusia 18 hingga 20 tahun, dengan lebih 128 ribu adalah dari negeri ini.
Mereka ini membentuk kepada lebih 954 ribu pengundi bawah 40 tahun yang ada di Sarawak dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Angka ini sebenarnya amat relevan, kerana dalam tempoh 15 hari lagi, parti-parti politik dan individu akan menamakan calon masing-masing dalam PRU-15.
Menamakan calon mungkin perkara yang mudah.
Namun menjadikan calon tersebut pemenang, terutamanya “pemenang bermaruah”, bukan tugas yang ringan.
Ia memerlukan analisis data yang tepat, serta strategi komunikasi yang berkesan.
Kebiasaannya, pemilihan calon oleh mana-mana parti politik bersandarkan kecergasan, populariti, pengaruh dan wibawa, namun pascaPRU-14 menukar segala-galanya.
Setiap parti perlu memberi fokus kepada calon yang dipilih.
Jika usianya terlalu “emas”, ia perlu digantikan. Dan penggantian pula, perlu kepada komposisi umur terbanyak kalangan pemilih, serta latar belakang mereka, bagi mempermudahkan kempen, kerana calon dan pemilih yang sebaya, senada dan segenerasi akan memiliki hubungan simbiotik.
Jika pada PRU-14, kumpulan besar pemilih muda dan berpendidikan telah berjaya mengubah Kerajaan Persekutuan, tidak mustahil mereka akan melakukannya sekali lagi, dengan pertambahan lebih ramai lagi pengundi muda, susulan pengenalan Undi 18.
Justeru itu, amat perlu setiap parti melihat kepada perkara ini, jika ingin terus dipilih oleh kelompok pemilih yang tegas dan keras hati ini.
Calon-calon yang dibawa masuk bukan sahaja perlu bijak, terbuka, berilmu, mesra dan rajin, tetapi perlu terbuka dan bebas daripada perwatakan ego, sombong dan puaka.
Mereka perlu mampu menjiwai keperluan dan kehidupan rakyat, dan bertindak pantas dan tegas jika perlu.
Dan dalam konteks Sarawak, ia perlu ditambah dengan keberanian untuk bersuara demi negeri, bagi memastikan agenda membela negeri sentiasa menjadi naratif perjuangan.
Gabungan Parti Sarawak (GPS) perlu memiliki set pemimpin seperti ini, kerana agenda perjuangan mereka selepas ini begitu jelas dan besar.
Antaranya termasuklah memastikan senarai tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus diperkasa dan ditunaikan, serta memastikan satu pertiga daripada ahli parlimen diperuntukkan untuk Sabah dan Sarawak diperoleh.
Jika GPS terus menjadi kingmaker yang menentukan kepimpinan negara, tiba masanya parti itu dijanjikan kedudukan Timbalan Perdana Menteri.
Atas alasan inilah pemilihan calon-calon pada kali ini cukup penting.
Calon-calon ini, bukan sahaja “mesti menang”, tetapi mampu berbahas dan berpengaruh apabila dibawa ke pentas politik nasional.
Di luar kebiasaan, tidak salah sebenarnya jika bakat-bakat yang bijak berhujah seperti Datuk Dr Annuar Rapaee; Datuk Dr Juanda Jaya; Fazruddin Abdul Rahman; Datuk Abdullah Saidol malah Datuk Snowdan Lawan dan Miro Simuh diberi ruang pentas ini, kerana mereka terbukti memiliki “akal” menyerang dan bertahan jika berhadapan dengan lawan, serta kaya idea apabila membela negeri.
Malah sebenarnya, tidak sedikit yang berpendapat, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sendiri perlu berada di Parlimen, bagi memimpin Sarawak kerana beliau terkenal dengan pengaruh dan wibawanya.
Dan jika ini berlaku, impian Sarawak untuk menggenggam kedudukan Timbalan Perdana Menteri akan tercapai, kerana seluruh negara begitu menghormati pengalaman dan ketegasan beliau.
Malah ramai dalam kalangan pemimpin dari Semenanjung yang berusaha untuk mendampingi beliau.
Pada masa yang sama, demi kelangsungan parti, perlu juga calon muda diletakkan dalam senarai.
Lukanisman Awang Sauni diangkat sebagai calon di Parlimen Sibuti pada usia 36 tahun, dan ternyata beliau telah berjaya melaksanakan tugasnya dengan berjaya, serta dihormati.
Dengan kebanyakan parti meletakkan 70 peratus calon muka baharu dan muda dalam PRU kali ini, fakta ini perlu direnungi setuntasnya.
Ingat, hampir 50 peratus daripada pemilih di Sarawak adalah kalangan mereka yang berusia di bawah 40 tahun.
Pada masa yang sama, GPS juga perlu mengelakkan calon-calon yang boleh mendatangkan “puaka”.
Ini termasuk calon-calon “kitar semula” dan memiliki peribadi yang boleh “dipersoalkan”.
Malah mereka yang tidak lagi berminat untuk menjadi ahli Parlimen, termasuk malas dan mengambil sambil lewa tanggungjawab yang diberikan perlu direhatkan.
Politik baharu negara tidak perlu orang seperti itu.
Malah calon-calon begini telah ditolak oleh pengundi Sarawak pada PRU yang lalu, dan mereka ini tidak teragak-agak untuk mengulangi tindakan ini, jika ia kembali berlaku.
PRU-15 adalah permulaan baharu kepada politik negara, dan algoritmanya telah bertukar.
Mana-mana parti tidak boleh tersalah pilih calon, kerana jika ini berlaku, ia akan mendatangkan petaka, dan mimpi buruk yang tidak pernah diimpikan.