Calon pilihan hati orang Repok

SARIKEI: Adun Repok Datuk Sri Huang Tiong Sii kekal sebagai calon pilihan Parti SUPP untuk mempertahankan kerusi Repok pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Keputusan yang dipersetujui secara majoriti itu dalam Mesyuarat Agong SUPP Sarikei di Pusat Khidmat Repok, kelmarin.

Cadangan dikemukakan Setiausaha SUPP Cawangan Sarikei Anthony Tan yang menamakan Huang sebagai calon mempertahankan kerusi Repok.

Usul tersebut mendapat sokongan padu daripada semua ahli yang hadir.

Mengulas mengenai sokongan itu Huang berkata, ia merupakan kepercayaan daripada ahli parti terutama di peringkat akar umbi.

Keputusan itu katanya, menyuntik semangatnya untuk terus menghulurkan khidmat terbaik sebagai wakil rakyat di Repok.

“Bagaimanapun, sama ada bertanding atau sebaliknya, saya serahkannya kepada budi bicara dan kebijaksanaan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

“Seandainya saya terpilih sekali lagi, sudah pasti agenda perjuangan saya masih sama untuk membela rakyat di sini.

“Saya yakin boleh melaksanakannya berdasarkan sokongan padu rakyat sepanjang saya menjadi wakil rakyat di kawasan ini,” ujarnya.

Suara Sarawak