ARTIKEL

(Dari kiri) Melvin Jong, Alvin Ng, Dr Sharzede Datu Sallah Askor dan Alexander bersama dengan Black Dolphin Trophy pada Cannes Corporate Media & TV Awards 2026.

Cannes Corporate Media & TV Awards 2026: STB Terima Black Dolphin Trophy

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Enam hari merentasi langit Sarawak sejauh 1,706.7 kilometer dari Tanjung Datu hingga ke Lawas bukan sekadar perjalanan mencipta rekod dunia, sebaliknya menjadi medium untuk membawa kisah mengenai landskap, warisan, budaya dan destinasi negeri ini kepada khalayak antarabangsa.

Perjalanan itu dirakam menerusi produksi Gateway to a Sarawak Guinness World Record, yang mengetengahkan pencapaian Sarawak mencipta Rekod Dunia Guinness bagi jarak kumulatif terpanjang menggunakan perbarisan dron yang dikawal dari jauh.

Rakaman berkenaan kemudiannya membawa cerita Sarawak lebih jauh apabila produksi itu menerima Black Dolphin Trophy bagi kategori Best Use of Drones pada Cannes Corporate Media & TV Awards 2026 di Cannes, Perancis, pada 24 September lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Dr Sharzede Datu Sallah Askor berkata pengiktirafan itu menunjukkan bagaimana kreativiti dan teknologi mampu membawa identiti serta pengalaman Sarawak kepada khalayak di luar rantau ini.

Katanya, perjalanan dron yang mencipta rekod dunia itu membolehkan Sarawak dipersembahkan melalui perspektif berbeza, selain meraikan masyarakat, tempat dan warisan negeri ini.

“Pengiktirafan ini memberitahu kita bahawa kisah Sarawak mampu menjangkau jauh. Perjalanan dron yang mencipta rekod dunia membolehkan kami mempromosikan negeri ini dari pesisir pantai hingga kawasan pedalaman, sambil meraikan masyarakat, tempat dan warisan kita,” katanya.

Menurutnya, kreativiti memainkan peranan penting dalam memperkenalkan sesebuah destinasi, manakala pengiktirafan di pentas antarabangsa itu menggalakkan STB untuk terus menyampaikan kisah Sarawak, Gateway to Borneo dalam pendekatan yang segar dan bermakna.

Produksi berkenaan dihasilkan oleh agensi berpusat di Kuala Lumpur, ISC International (ISCI), yang menggabungkan percubaan mencipta rekod dunia dengan penceritaan destinasi.

Pendekatan itu membolehkan penonton mengikuti perjalanan dari satu penghujung Sarawak ke penghujung yang lain, selain menjadikan pencapaian teknikal tersebut sebagai jendela untuk melihat kepelbagaian pengalaman yang terdapat di seluruh negeri.

Pengarah Digital dan Komunikasi STB, Melvin Jong berkata penggunaan dron memberi peluang untuk menampilkan Sarawak dari perspektif yang mungkin tidak dapat dialami khalayak secara biasa.

Menurutnya, penggunaan kandungan kreatif dan teknologi berkenaan turut mencerminkan usaha berterusan STB dalam mengukuhkan promosi destinasi, daripada hutan hujan, gua, sungai dan pesisir pantai hingga kepada tradisi serta budaya masyarakatnya.

Produksi itu berjaya merakam kepelbagaian tersebut dari udara, sekali gus menjadikan perjalanan mencipta rekod dunia itu bukan hanya soal pencapaian jarak, tetapi tentang cerita destinasi yang ingin dikongsi kepada dunia.

Anugerah Cannes Corporate Media & TV Awards, yang ditubuhkan pada 2010 oleh Filmservice International, mengiktiraf kecemerlangan dalam filem korporat, media dalam talian dan produksi audiovisual dari seluruh dunia.

Dalam edisi 2026, anugerah itu menerima lebih 1,000 penyertaan dari 55 negara merangkumi 63 kategori, dengan 253 produksi daripada 38 negara disenarai pendek dan 182 produksi menerima trofi berkenaan.

-TAMAT-

BERITA LAIN

Yusuf Mahardika Lawan Rasa Takut

Mengakui dirinya penakut, pelakon Indonesia, Yusuf Mahardika, terpaksa berfikir dua kali sebelum menerima tawaran membintangi filem seram Rambut Sewu: Satu Langkah Geth. Namun, demi mencabar

BERITA TERBARU

Jaga data privasi kita

MINGGU lepas, dan sebenarnya banyak minggu, telefon pintar saya memaparkan iklan pelaburan hanya dengan jumlah kecil, tetapi memberikan pulangan lumayan. Bayangkan pelaburan hanya RM500, kita

Chery mohon maaf isu Omoda

Pengerusi dan Presiden Chery, Yin Tongyue, memohon maaf ber-hubung dengan kebimbangan terhadap kualiti kenderaan ke-luarannya di Malaysia susulan insiden sebuah Chery Omoda 5 yang mengalami