Cantas rasuah sebelum subur

KUCHING: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak bercadang menubuhkan unit integriti untuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negeri.

Menterinya Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, ia sejajar usaha memperkukuhkan integriti PBT di negeri ini mulai tahun depan. “Unit ini berperanan memantau dan mengkoordinasi semua program berkaitan integriti serta mencegah rasuah dalam kalangan PBT.

“Seperti yang kita ketahui, Kerajaan Sarawak sangat mengambil berat terhadap integriti dan bersikap antirasuah. “Jika kita lihat sekarang, banyak unit integriti dibentuk di peringkat kementerian, jabatan kerajaan dan agensi di Sarawak,” katanya merasmikan Hari Anti Rasuah Antarabangsa (Hara) 2020 Peringkat Negeri kelmarin.

Kui Hian menambah, penubuhan unit berkenaan sejajar arahan Kerajaan Sarawak supaya program berkaitan integriti dilaksanakan sepanjang tahun.

“Mengambil contoh kementerian, kami melaksanakan Hari Integriti 2020 pada 21 Januari tahun ini. “Malah mengadakan ikrar bebas rasuah yang dilafazkan semua pegawai dan agensi di bawah kementerian. “Semua ahli dan kakitangan yang baharu turut melaku lafaz janji bebas rasuah sebaik dilantik dalam penjawatan,” ujarnya.

Mengulas mengenai Hara 2020, Kui Hian menjelaskan, program berkenaan sesuai dengan tema PBT Perangi Pemberi Rasuah.

Beliau menjelaskan, tema Hari Pencegahan Rasuah Antarabangsa 2020 pula Memulihkan Dengan Integriti, turut sesuai digunakan ketika ini termasuk Sarawak yang banyak melabur dalam sektor kesihatan serta melaksanakan pelbagai pakej rangsangan pemulihan ekonomi.

“Kita perlu menerapkan langkah antirasuah, nilai ketelusan dalam pentadbiran dan sifat bertanggungjawab bagi mengatasi segala bentuk ketirisan. “Jika tidak dicegah peringkat awal, ketirisan berkenaan akan memberi risiko dan membahayakan segala usaha yang dilaksanakan.

“Justeru, kita mesti memerangi rasuah dengan cara sama dengan memerangi Covid-19 bagi membolehkan kita pulih dan bangga menjulang integriti, ” katanya.

Katanya, kementeriannya melancarkan Pelan Organisasi Antirasuah (OACP) 2021-2025 pada 25 November lalu yang mengandungi enam objektif, 10 strategi dan 101 inisiatif.

“Kementerian saya merancang untuk melibatkan PBT dalam melaksanakan OACP pada tahun depan,” katanya.

Suara Sarawak