Cara baharu selesaikan kesesakan Kuching-Samarahan

Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Openg sangat mengambil berat isu kesesakan pada waktu puncak yang dihadapi warga bandar khasnya di Kuching dan Samarahan.

Dalam menangani isu kesesakan yang semakin serius ini, Abang Johari merancang untuk membangunkan prasarana Aliran Transit Autonomous (ART) yang dijangka beroperasi seawal 2025.

ART dipercayai dapat mengatasi kesesakan khususnya kawasan bandar akibat pertambahan drastik kenderaan dan penduduk terutama melibatkan penduduk di Kuching dan Samarahan.

Sistem pengangkutan ART dijangka dapat membaca tanda laluan di jalan raya dengan kelajuan 70 kilometer sejam, mempunyai tiga hingga lima gerabak dengan setiap gerabak boleh membawa 85 penumpang.

Manakala, sistem ART lebih murah berbanding sistem Light Rapid Transit (LRT) kerana ia tidak memerlukan landasan bertingkat.

Kos ART sekitar satu pertiga berbanding kos LRT dan laluannya hanya perlu dilebarkan daripada jalan sedia ada.

Setakat ini, laluan ART dirancang menghala Kuching-Samarahan, seterusnya akan menjangkau Batu Kawa-Bau-Sematan.

Menurut Abang Johari, idea membangunkan ART selain bertujuan menyelesaikan isu kesesakan, inisiatif dilakukan demi membantu pembangunan bandar raya ke arah kemajuan berteknologi tinggi.

 

Suara Sarawak