Cari ilmu untuk didik anak autisme semasa PKPB

KUCHING: Ibu bapa dinasihatkan untuk terus berusaha mencari ilmu dan pengetahuan  tentang cara mengendalikan dan mendidik anak autisme sepanjang PKPB kini, kerana banyak perkongsian ada disediakan di media sosial dan ia sedikit sebanyak dapat membantu mereka.

Itu antara nasihat Pengerusi Persatuan Pembimbing Komuniti Autisme  (PeKA) Azman Mustafa, kepada semua ibu bapa yang kini terus berusaha membesarkan anak-anak autisme dengan penuh tabah dan cekal sepanjang PKPB kini.

“Dalam kita meraikan Hari Raya ini bersama keluarga di rumah saya berharap semua pihak mematuhi SOP yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh kerajaan, agar kita dapat memenangi perjuangan memutuskan penularan Covid-19 ini.

“Kepada ibu bapa dan keluarga yang mempunyai anak berkeperluan khas ini, semoga terus diberikan kekuatan dan kesabaran untuk menjaga mereka sepanjang  Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini,”katanya ketika dihubungi Suara Sarawak hari ini.

Tambahnya lagi sebaiknya ibu bapa manfaatkan cuti mereka  yang ada untuk melatih anak mereka tentang disiplin diri menjalankan aktiviti harian seperti , latihan tandas, pengurusan diri, berkomunikasi, motor halus, motor kasar dan sebagainya.

Dayang Dayana Abg Abd Nasir, ahli persatuan PeKA dan Sukarelawan

Katanya lagi walaupun Hari Raya tahun ini  diraikan dalam tempoh PKPB ia juga  tidak menghalang hasrat PeKA menganjurkan program secara atas talian kepada semua ahlinya menerusi Pertandingan Membuat Kad Raya dan Pertandingan Video Ucapan Raya 2020.

“Saya ingin menzahirkan kesyukuran dan berbangga di atas usaha semua peserta yang menghantar penyertaan mereka untuk dua pertandingan ini, dan dengan itu untuk pertandingan membuat kad Raya, tempat pertama menjadi milik Idlan Faruqie Mohd Hafiz, diikuti Qayyim Irfan Harraz Nora’mi dan Ariff Iskandar Airil Anuar.

“Manakala untuk pertandingan Video Ucapan Raya  tempat pertama dimenangi oleh Muhd Afeef Aryan, diikuti tempat kedua Daniyal Aiman Dicky Arman dan tempat ketiga ialah Putra Adam Kashfi yang masing-masing memenangi hadiah duit raya,” katanya lagi.

Sebagai salah seorang ahli persatuan dan juga merupakan individu yang mempunyai latar belakang dalam bidang psikologi dan pendidikan khas, Dayang Dayana Abg Abd Nasir turut memberikan sokongan penuh kepada penganjuran pertandingan tersebut.

“Bagi saya melalui pertandingan ini ia dapat menyerlahkan kreativiti anak-anak autisme ini, selain dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim  antara ahli keluarga yang sama-sama membantu dalam menyiapkan kad dan ucapan ini.

“Malah pertandingan video ucapan Raya ini, ini mampu meningkatkan keyakinan diri anak-anak autisme ini, diharapkan untuk masa hadapan kita dapat mengadakan lebih banyak pertandingan sebegini,” tambahnya lagi.

Dalam kesempatan tersebut juga PeKA turut menghargai dan menzahirkan ucapan terima kasih di atas sumbangan yang disalurkan oleh Sukarelawan Jalanan dalam membantu persatuan bagi meneruskan aktiviti  untuk anak-anak autisme ini.

Antara video Ucapan Hari Raya untuk penyertaan pertandingan Ucapan Hari Raya

Ucapn Azman Mustafa bersama anaknya