Restoran Puzzle saji pelbagai menu istimewa pakej bufet Ramadan

Cari upah baiki motosikal, berniaga

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

SEBUYAU: Setelah hampir dua tahun bergelut dengan pandemik Covid-19, kini para nelayan terpaksa berhadapan musim tengkujuh yang dijangka berlarutan hingga Februari tahun depan.

Monsun Timur Laut membawa hujan lebat, tiupan angin kencang dan ombak mampu mendatangkan risiko kehilangan nyawa dan harta benda kepada nelayan semasa di laut.

Justeru, para nelayan yang bergantung sepenuhnya terhadap hasil tangkapan laut mula buntu dan gusar untuk mencari sesuap nasi demi keluarga kerana cuaca yang tidak menentu, lantas menyebabkan pendapatan mereka merosot.

Tinjauan Suara Sarawak di penempatan nelayan di Kampung Sebuyau mendapati keadaan tepi laut lengang dan banyak bot nelayan tersadai serta ditambat pada tiang jeti yang memberi petanda bahawa ramai nelayan tidak turun ke laut.

Salah seorang nelayan, Wan Mohamad Tku Jinal, 59, memberitahu orang kampung menggelar musim tengkujuh sebagai musim landas dan para nelayan akan turun ke laut mengikut keadaan cuaca.

LENGANG… Banyak bot nelayan ditambat di jeti dan tersadai di tepi pantai kerana nelayan tidak dapat turun ke laut.

“Kebelakangan ini, cuaca memang agak buruk… jadi agak sukar untuk kami menangkap ikan.

“Dengan umur yang sudah hampir 60 tahun, tidak banyak kerja yang dapat saya lakukan untuk menjana pendapatan sampingan.

“Saya hanya berharap dengan wang saku yang anak-anak beri setiap hujung bulan.

“Pendapatan memang agak terjejas sebab hasil laut adalah sumber utama kami sebagai nelayan.

Jika musim hujan berpanjangan, memang menyedihkan kami,” ujarnya. Oleh itu, beliau berharap agar pihak kerajaan dapat memberi perhatian lebih kepada masalah nelayan di kampung-kampung terutamanya pada musim tengkujuh.

Bagi Masdin Saini, 49, ketika musim hujan, nelayan memang tidak dapat pergi ke laut kerana ia adalah musim bergelora.

“Selain kerja sebagai nelayan, aktiviti lain yang boleh dilakukan hanyalah berniaga secara kecil-kecilan seperti niaga secara runcit kerana perkampungan nelayan memang bergantung dengan hasil laut,” jelasnya.

Tambahnya lagi, pendapatannya juga merosot dan musim tengkujuh benar-benar memberi cabaran kepada kehidupan para nelayan.

Manakala, Wan Faizal Wan hassan, 27, menjelaskan bahawa musim tengkujuh pada ketika ini mereka masih menangkap ikan tetapi jarang turun ke laut kerana keadaan cuaca tidak menentu.

“Untuk menjana pendapatan sampingan kerana musim hujan saya melakukan kerja membaiki motosikal orang.

“Kami amat terjejas kerana menangkap ikan adalah kerja utama sebagai nelayan,” jelasnya.

WAN MOHAMAD TKU JINAL

MASDIN SAINI
WAN FAIZAL WAN HASSAN

E-Paper

20 Mac 2023

Latest News