Cari waris, kesan identiti tengkorak yang ditemui di Jalan FAC, Matang

PADAWAN: Sesiapa yang kehilangan ahli keluarga boleh tampil ke balai-balai polis yang berdekatan, bagi membantu mengesan identiti tengkorak dan beberapa tulang manusia di tepi Jalan FAC Batu 11, Matang di sini pada 25 Februari lalu.

Selain itu boleh menghubungi Ketua Polis Balai Batu Kawa yang juga Pegawai Penyiasat, Sub Insp. Noh Pojak di talian 082-463412 atau 019-8470303.

Menurut Ketua Polis Daerah Padawan Superintendan Aidil Bolhassan berkata selain tengkorak dan tulang, turut dijumpai satu helai baju lengan pendek yang tertera perkataan SIDMA Kolej Sarawak.

Beliau menambah lebih kurang 20 meter dari tempat penemuan tulang tersebut turut menjumpai satu seluar jean warna biru jenama LMS dan kasut sukan berwarna hitam jenama Fasshion saiz 7.

Katanya turut dijumpai satu beg warna biru tertera logo UITM dan satu helai jaket jenama Hellyhansan saiz S.

“Hasil pemeriksaan Forensik Hospital Umum Sarawak (HUS) telah mengesahkan tulang itu adalah tulang manusia dewasa berdasarkan ciri-ciri saiz tulang dan tengkorak.

“Buat masa ini pihak forensik belum dapat mengesahkan tempoh tulang tersebut kerana bergantung dengan keadaan cuaca dan sekitar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, Aidil berkata kes diklafikasikan sebagai mati mengejut terlebih dahulu sehingga siasatan serta analisa lebih lanjut dijalankan.

Tengkorak dan tulang manusia itu ditemui di dalam semak oleh seorang lelaki tempatan yang kebetulan mencari rumput untuk makanan ternakannya.

Suara Sarawak