Ceburi perniagaan atas talian tindakan bijak

KUCHING: Platform e-dagang serta penggunaan media sosial dalam memasarkan barang jualan oleh peniaga-peniaga kecil (usahawan) adalah satu tindakan bijak.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perkembangan itu dilihat menerusi hasil tinjauan pihaknya terhadap operasi perniagaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dijalankan.

Beliau berkata sedemikian setelah menghadiri Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai perlaksanaan PKP di Putrajaya.

“Ketika ini normal baharu yang dapat diperhatikan adalah peniaga pasar turut memasarkan ikan, daging dan sayur secara dalam talian.

“Ini merupakan satu petanda yang baik kerana mereka (peniaga) boleh berurusan tanpa khidmat orang tengah lagi.

“Justeru, sama ada sedar atau tidak setiap cabaran baharu memerlukan kita untuk berfikir, merancang dan meningkatkan keupayaan dalam inovasi dan adaptasi,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Susulan itu, katanya, kerajaan khususnya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) akan terus berusaha membantu golongan usahawan agar perniagaan mereka tidak terjejas dalam suasana ekonomi masa kini.

Tegas beliau, usahawan pada masa sama perlu bijak mengatur kelangsungan perniagaan selain menjalankannya dengan standard operasi prosedur (SOP) yang telah ditetapkan.

Tambahnya, masyarakat awam juga dilihat berdisplin dalam memastikan amalan seperti memakai penutup muka, membersihkan tangan menggunakan sanitizer dan diambil suhu badan dipraktikkan semasa pasca covid-19.

Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan Salam Aidilfitri, Hari Gawai, serta Hari Keamatan khususnya kepada masyarakat yang meraikannya.

Suara Sarawak