KANOWIT: Seorang lelaki berusia 50 tahun cedera selepas kereta yang dipandunya bertembung dengan sebuah pacuan empat roda di Jalan Pantu Mali di sini, petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam satu kenyataan berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kanowit telah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 2.29 petang.
Susulan itu, jelasnya, lima anggota beserta sebuah jentera LFRT telah dikerah ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira lima kilometer dari balai.
“Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan jenis pacuan empat roda dan sebuah kereta sedan jenis Proton Iswara. Terdapat seorang mangsa tersepit di dalam kereta jenis Proton Iswara,” katanya.
Pasukan bomba kemudian jelasnya telah bertindak melakukan kerja-kerja penyelamatan dengan menggunakan konsep SAVER, menggunakan peralatan khas RTA iaitu ‘rescue tools’.
Mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak ambulans dari Hospital Kanowit untuk tindakan selanjutnya, katanya sambil mengatakan operasi ditamatkan pada jam 3.30 petang. Setelah memastikan keadaan selamat, PKO bertolak balik ke balai.
