Cedera di leher, kepala disamun dengan parang

BAU: Seorang pemandu lori yang membawa bekalan ayam disamun empat lelaki bersenjata parang di Siniawan di sini sekitar jam 11.30 malam pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Bau, DSP Poge Nyaon berkata, ketika kejadian mangsa yang berusia 26 tahun bersama-sama seorang lagi pekerja sedang membawa ayam segar ke kilang di Jalan Mustafa di sini untuk penghantaran.

“Setiba di lokasi, mangsa dihampiri dua lelaki yang menunggang motosikal dan dua lagi lelaki menaiki kereta Proton Saga hijau dengan nombor pendaftaran QKF4337.

“Salah seorang daripada mereka kemudian bertindak mengeluarkan parang sebelum menyerang dan mencederakan mangsa di bahagian leher kanan dan kepala,” katanya.

Menurut Poge, pada masa sama, seorang lagi lelaki mengambil dompet dan kunci kereta sebelum melarikan diri menggunakan motosikal.

“Mangsa kemudian pergi ke Balai Polis Siniawan untuk meminta bantuan dan membuat laporan sebelum dikejarkan ke Hospital Bau,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 395 dan Seksyen 397 Kanun Keseksaan.