KUCHING: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara empat hari dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan mencederakan abang kandungnya, Ogos lalu.
Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap Awangku Abu Bakar Awangko Shahbuddin, 30, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapannya.
Mahkamah memutuskan penjara dua minggu sekiranya tertuduh gagal membayar denda.
Berdasarkan pertuduhan, dia sengaja mencederakan abang kandungnya di sebuah rumah di Kampung Stutong Baru, Jalan Stampin, sekitar jam 6.05 petang, 5 Ogos lalu.
Oleh itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, tertuduh (adik) tiba-tiba mengamuk dengan bertindak menumbuk pengadu di bahagian belakang tengkuk hingga menyebabkan pergelutan.
Punca kejadian adalah disebabkan pengadu bertanya kepada tertuduh mengapa menggunakan namanya sebagai penjamin untuk meminjam wang daripada along.
Pengadu yang mengalami kecederaan di bahagian muka, tangan kanan dan belakang kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Pegawai Pendakwa Inspektor Mohd Adzmei Ahmad memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran.