Cegah awal sebelum merebak

BETONG: Selain menyambut baik tindakan Kerajaan Sarawak memperketat pintu masuk negeri ini, Pergerakan Pemuda GPS mengingatkan orang ramai agar memberi keutamaan terhadap aspek kebersihan bagi mengelakkan jangkitan novel koronavirus.

Pengerusinya Gerald Rentap Jabu berkata, semua pihak harus berhati-hati.

“Kalau benar ada kes positif virus itu di Sarawak, tindakan memperketatkan kawalan masuk pelawat khususnya dari China di lapangan terbang di seluruh negeri ini satu tindakan yang cukup bagus.

“Ini penting bagi mengekang penularan virus berkenaan, tambahan kita masih belum mengetahui punca sebenar dan bagaimana ia merebak.

“Berdasarkan pengalaman dalam wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (Sars) sebelum ini, ia begitu cepat merebak dan ini amat berbahaya.

“Justeru, langkah penting yang harus diambil ialah mengutamakan aspek kebersihan sebagai perlindungan kendiri,” katanya.

Beliau yang juga Adun Layar berkata demikian pada ziarah Tahun Baharu Cina bersama-sama keluarga dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sini, semalam.

Jelas Rentap, difahamkan sehingga kini belum terdapat ubat yang mampu mengubati virus berkenaan.

“Kita tidak harus memandang remeh perkara kecil seperti membasuh tangan, menggunakan penutup hidup dan mulut termasuk mengelakkan daripada berkunjung ke tempat berisiko.

“Kalau rasa kurang sihat segera ke hospital untuk pemeriksaan lanjut,” ujarnya lagi.

Beliau melahirkan kebimbingan dan berharap penularan wabak koronavirus di Sarawak dan berharap ia dapat dicegah lebih awal.

Suara Sarawak