Cemas! Bumbung rumah tercabut diterbangkan angin ribut

BINTULU: Sebuah keluarga berdepan detik mencemaskan apabila bumbung rumah mereka tercabut dan diterbangkan angin ribut dalam satu kejadian di Kampung Assyakirin Fasa 3, awal pagi semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 3 pagi itu, tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku.

Menceritakan detik- detik mencemaskan itu, Hasnah Tuah,59, berkata dalam tempoh sepuluh minit, habis bumbung rumahnya diterbangkan angin.

Menurut ibu tunggal itu, ketika kejadian pada jam 3 pagi tadi itu, beliau sekeluarga sedang nyenyak tidur.

Saya hanya menyedari kejadian ini sebaik sahaja dimaklumkan oleh salah seorang anak perempuan yang melihat cahaya menerusi siling bilik tidur, katanya lagi sambil menambah apabila beliau keluar dari biliknya, alangkah terkejutnya melihat bumbung kediamannya sudah diterbangkan angin.

Lebih menyedihkan lagi, kediaman dua tingkatnya itu turut dimasuki air akibat hujan lebat selain turut menyebabkan siling rumahnya bocor.

Ini merupakan kejadian pertama dihadapi mereka, namun, beliau bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa mahupun sebarang kecederaan.

“Syukur ia tidak terlalu serius dan paling penting, tiada perkara yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Sementara, itu Ahli Parlimen Bintulu Datuk Sri Tiong King Sing sejurus dimaklumkan Pegawai Khasnya, Azman Abdul Rahman berhubung kejadian malang tersebut segera mengarahkan agar kerja-kerja membaiki kerosakan bumbung kediaman Hasnah dilakukan segera.

Bumbung kediaman Hasnah yang dierbangkan angin dalam kejadian di Kampung Assyakirin Fasa 3.
Azman meninjau kerosakan bumbung kediaman ibu tunggal, Hasnah yang diterbangkan angin dalam kejadian di Kampung Assyakirin Fasa 3.
HASNAH TUAH