Cemas sang bedal jengah dapur

SARIKEI: Kehadiran tetamu tidak diundang, seekor buaya sepanjang tiga meter menggemparkan penghuni sebuah rumah di Jalan Baji di sini malam tadi.

Kejadian kira-kira 9.20 malam, disedari salah seorang penghuni yang ketika itu kebetulan berada di dapur rumahnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmuddin Narudin berkata, pada mulanya, penghuni terbabit ternampak objek panjang dan besar tidak jauh dari dapur rumah mereka.

“Curiga dengan apa yang dilihatnya, penghuni berkenaan mengamati objek yang berwarna kehitam-hitaman itu. Dia terkejut selepas mendapati ia seekor buaya,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mahmuddin berkata, lelaki itu kemudiannya bergegas menghubungi Bomba untuk mendapatkan bantuan.

Susulan itu katanya, sembilan anggota Bomba dan Penyelamat Sarikei yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Haron Jenai bergegas ke lokasi kejadian.

Anggota Bomba melakukan pemantauan susulan sebelum kembali ke balai.

“Sampai di tempat kejadian kita mendapati seekor buaya kira-kira tiga meter berdekatan dapur rumah pengadu.

“Kami cuba menangkapnya namun ia merangkak sebelum melarikan diri ke dalam sungai berdekatan,” ujarnya.

Menurut aduan penghuni rumah berkenaan katanya, mereka sering terserempak dengan kehadiran buaya kerana kediaman itu terletak berhampiran sungai.

“Bagaimana pun dalam kejadian malam tadi, reptilia berada terlalu dekat dengan dapur rumah sehingga mencemaskan penghuninya.

“Sehubungan itu, saya menasihatkan penduduk berhampiran sungai agar berhati-hati dengan kehadiran haiwan ini,” tambahnya.